Pengeluar motosikal elektrik yang sudah beroperasi lebih 14 tahun di Santa Cruz, California, iaitu Zero Motorcycles telah memperkenalkan model terbaru mereka, dinamakan sebagai Zero SR/S. Ia adalah sebuah model berbentuk sports dengan fairing penuh dan menggunakan asas sama seperti SR/F yang pernah dilancarkan sebelum ini.
Menurut Zero, penggunaan fairing ini dapat memperbaiki ciri aerodinamik motosikal, sekaligus membantu mendapatkan jarak gerak yang lebih jauh. Bagi penggunaan dalam bandar, ia boleh bergerak sehingga 259 km manakala di lebuh raya, dengan laju maksimum yang dihadkan kepada 200 km/j, ia boleh pergi sehingga 132 km.
Zero SR/S digerakkan oleh motor elektrik Z-Force 75-10, yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion berkapasiti 14.4 kWh, dan mampu menghasilkan 110 hp pada 5,000 rpm dan 190 Nm tork sebaik pendikit dipulas. Sekiranya mahukan jarak gerak lebih jauh, pemilik boleh menambah pek bateri Power Tank 3.6 kWh, sekaligus menaikkan jaraknya menjadi 323 km dalam bandar dan 166 km atas lebuh raya.
Waktu mengecas SR/S bergantung kepada jumlah modul pengecas Level 2 yang berada pada motosikal, di mana jika menggunakan satu modul, ia akan mengambil masa empat jam untuk mencecah tahap 95%, dari kosong, manakala bila menggunakan dua modul, waktunya dipendekkan sehingga separuh. Jika terdapat tiga modul, waktu mengecas cuma lebih sedikit daripada satu jam.
Zero SR/S boleh didapati dalam dua versi iaitu versi asas yang menggunakan pengecas pantas 3.3 kW berharga USD 19,995 (RM84,264) manakala satu lagi versi yang menggunakan pengecas pantas 6 kWh dijual pada harga USD 21,995 (RM92,693).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.