Porsche 911 Turbo S 2020 didedahkan – boxer 3.8L biturbo berkuasa 650 PS/800 Nm, 0-100 km/j 2.7 saat!

Porsche 911 Turbo S 2020 didedahkan – boxer 3.8L biturbo berkuasa 650 PS/800 Nm, 0-100 km/j 2.7 saat!

Model generasi terkini Porsche 911 iaitu generasi 992 kini hadir dengan antara varian paling berkuasa iaitu Turbo S. Datang dalam bentuk badan Coupe dan Cabriolet, ia masih dijana enjin boxer enam-silinder dengan dua pengecas turbo, tetapi kini menjana 70 PS/50 Nm lebih berkuasa dari Turbo S generasi 991.2, dengan kuasa yang dicatatkan pada 650 PS dan tork maksima 800 Nm!

Bagi mendapatkan kuasa yang lebih besar ini, kedua-dua pengecas turbo dengan geometri turbin bervariasi pada enjin ini diubahsuai bagi memberikan suapan boost yang lebih bertenaga – roda turbin kini 5 mm lebih besar menjadikan diameter keseluruhan kini 55 mm, manakala roda pemampat pula dibesarkan 3 mm kepada 61 mm.

Kemudian, sistem kemasukan udara juga menerima rekaan baharu. Selain dari menerima udara dari liang sebelah sisi, dua lagi liang pengambilan udara diletak bersepadu pada gril belakang menjadikan empat liang udara secara keseluruhan.

Kuasa dari enjin yang terletak pada bahagian kereta ini dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan PDK dan sistem AWD yang menerima Porsche Traction Management (PTM) dengan kotak penghantaran kuasa yang mampu memindahkan tork sehingga 500 Nm ke gandar hadapan.

Ini membolehkan 911 Turbo S memecut dari 0-100 km/j dalam masa 2.7 saat (0.2 saat lebih pantas dari sebelum ini) dan 0-200 km/j dalam masa 8.9 saat. Turbo S mampu mencapai kelajuan maksima 330 km/j. Penggunaan bahan api gabungan pula dicatatkan pada 11.1 l/100 km untuk Coupe dan 11.3 l/100 km untuk Cabriolet.

Model generasi baru ini telah dihasilkan lebih ‘kembang’ – dengan lebar 1,840 mm di hadapan dan 1,900 mm di belakang atau masing-masing 45 mm dan 20 mm lebih lebar dari model sebelum ini. Ia secara tidak langsung memberikan jarak trek roda yang lebih jauh iaitu 42 mm di hapadan dan 10 mm di belakang berbanding versi sebelumnya.

Turbo S diberikan set rim 20-inci dengan tayar 255/35R20 di hadapan dan rim 21-inci bersama tayar 315/30R21 di belakang. Manakala untuk menghentikan kereta ini pula, ia dilengkapkan dengan brek komposit seramik PCCB dengan cakera yang lebih besar dari sebelum ini, bersama angkup 10-omboh.

Pembeli turut ditawarkan dengan ciri opsyen untuk casis Turbo S ini iaitu Porsche Active Suspension Management (PASM) yang akan merendahkannya 10 mm dari biasa.

Untuk bahagian dalaman, 911 Turbo S menerima upholsteri kulit penuh, digandingkan dengan kemasan-kemasan gentian karbon dan serlahan berwarna perak. Skema warna dua-tona pada kabin turut ditawarkan secara opsyen menerusi Porsche Exclusive Manufaktur.

Penumpang hadapan akan diberikan tempat duduk sport dengan larasan elektrik 18-hala dengan sulaman yang diinspirasikan dari 911 Turbo generasi 930 keluaran tahun 1974, manakala pada papan pemuka diletakkan skrin 10.9-inci untuk sistem infotainmen PCM, bersama sistem audio surround dari Bose.

Pemandu pula akan menerima maklumat menerusi dua paparan instrumen digital dengan takometer gaya klasik yang terletak di tengah, roda stereng sport GT, manakala bagi yang memilih ciri opsyen pakej Sport Chrono turut akan dibekalkan dengan aplikasi bersepadu Porsche Track Percision.

Porsche 911 Turbo S generasi baharu ini akan mula dijual di Jerman dengan harga bermula €216,396 (RM1,011,301) untuk versi Coupe, manakala versi bumbung boleh buka pula dijual pada harga bermula €229,962 (RM1,074,700).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Nicholas Allen on Jul 28, 2022 at 11:33 pm

    I love these cars. If you ever want to donate one to me I would let you.LOL, I hope you have a great day.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required