Susulan perkembangan penangguhan bayaran balik pinjaman (moratarium) yang diumumkan oleh beberapa bank sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) semalam mengeluarkan satu kenyataan bahawa semua pelanggan bank secara automatiknya – termasuk bagi individu serta perniagaan kecil dan sederhana – dibenarkan untuk menangguh bayaran semula pinjaman mereka.

The Star melaporkan bahawa ini termasuk bayaran bagi pinjaman untuk gadai janji (mortgage) dan juga sewa-beli (hire-purchase), bagi tempoh enam-bulan. Ini adalah sebahagian daripada usaha bank pusat itu untuk membantu peminjam yang berhadapan dengan kekangan kewangan sementara akibat penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Penangguhan automatik ini adalah sah kepada pinjaman atau pembiayaan yang didominasi oleh mata wang ringgit, dan tiada tunggakan melebihi 90 hari, bermula pada 1 April, 2020.

“Institusi perbankan patut memberikan maklumat lengkap kepada peminjam individu serta juga perniagaan kecil dan sederhana berkaitan bagaimana penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan dilaksanakan bagi tempoh moratorium berkenaan,” jelas kenyataan yang dikeluarkan.

Bagaimapun, penangguhan ini tidak melibatkan sebarang baki bayaran terhadap kad kredit. Bagi hal ini, BNM memaklumkan pelanggan perlu ditawarkan pilihan untuk menukar baki tertunggak kepada pinjaman dalam jangka masa tidak melebihi tiga tahun. BNM juga menjelaskan, bagi peminjam korporat, institusi perbankan adalah sangat digalakkan untuk mempertimbangkan permintaan penangguhan bayaran balik bagi tempoh moratorium berkenaan.