Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan, pematuhan rakyat terdapat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini dianggarkan berada pada tahap 92% selepas ia dilaksakanakan sejak 18 Mac lalu.
Katanya, anggaran itu dibuat berdasarkan statistik diperoleh daripada petugas polis yang membuat rondaan, pemantauan dan sekatan jalan setiap hari. “Pada hari pertama, 60% (patuh) PKP, pada hari ini tahap 92%. Data ini diperoleh daripada petugas yang memantau pergerakan orang awam dan kenderaan. Kita memainkan peranan dan kuatkuasakan PKP mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967,” katanya sewaktu diwawacara dalam program Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan RTM pagi ini.
Dalam pada itu, Abdul Hamid turut berkata, sehingga kini, polis telah menahan seramai 110 individu atas pelbagai kesalahan melanggar PKP sepanjang tujuh hari pelaksanannya. Menurutnya, kebanyakan yang ditahan adalah membabitkan kesalahan ingkar arahan dan mencabar tugas anggota ketika sekatan jalan raya.
“Pada peringkat awal, polis mengambil pendekatan merayu, menjelaskan dan menasihati orang ramai supaya mematuhi PKP. Namun, polis tegas dalam menguatkuasakan undang-undang dengan menahan individu yang ingkar. Seramai 110 individu ditahan kerana ingkar malah ada yang bersikap biadap, mencabar, memaki hamun dan mengkasari anggota disebabkan tidak mahu beredar,” katanya dalam berita yang turut dilaporkan oleh Berita Harian.
Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi PKP dan pihaknya tidak akan teragak-agak menahan individu yang melanggar perintah berkenaan. “Agak sukar untuk kita memastikan orang ramai mematuhi pergerakan dibenarkan di bawah PKP. Saya minta masyarakat memahami perintah dan ia memerlukan pengorbanan semua, jangan pentingkan diri sendiri.
“Sebagai contoh sekatan jalan raya yang dilakukan di Sungai Buloh semalam, ada yang ditanya mahu ke mana mereka beri alasan beli makanan di Sungai Buloh tetapi alamat di Shah Alam. Ada juga yang keluar rumah untuk membeli alat pertukangan. Dalam situasi itu, kita halau balik,” katanya.
Kami di sini sekali lagi ingin menyeru anda semua duduk sahaja di rumah dan elak daripada keluar ke mana-mana sebab yang mustahak atau kecemasan. Tolong jaga kesihatan dan keselamatan diri anda, keluarga dan orang di sekeliling. Kasihanilah barisan hadapan kita termasuk anggota polis, tentera, doktor, jururawat, dan semua petugas di hospital yang bertungkus lumus menangani penularan wabak ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.