Memasuki fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan peraturan yang akan lebih ketat, semakin banyak sekatan jalan raya yang bakal dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan anggota tentera di merata lokasi. Bahkan, lebih banyak jalan juga akan ditutup bagi mengurangkan pergerakan orang awam tanpa hal yang munasabah.
Walau bagaimana pun, PDRM telah memutuskan untuk mewujudkan laluan khas untuk petugas barisan hadapan dan kenderaan perdagangan keperluan asas di setiap lebuh raya. Ia adalah bagi memastikan semua pergerakan penting sepanjang tempoh PKP ini berjalan lancar.
Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, laluan khas berkenaan atau (Fast Lane) dikhaskan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta lain-lain agensi yang terbabit dalam PKP.
“Selain barisan hadapan ini, turut dibenarkan melalui laluan khas berkenaan adalah kenderaan perdagangan yang membawa barangan keperluan asas asas dan makanan.
“Laluan khas ini dibuka di setiap Sekatan Jalan Raya (SJR) di setiap lebuh raya bagi memastikan mereka yang terbabit sebagai petugas hadapan segera sampai ke destinasi serta tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika pemeriksaan SJR,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian
Selain itu, pegawai kakitangan kerajaan berkepentingan yang terbabit dalam penugasan PKP juga boleh menggunakan laluan khas itu.
Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Siasatan/Sumber) JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, pula berkata selain kenderaan perdagangan pihak media cetak dan elektronik yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia juga dibenarkan melalui laluan berkenaan.
“Selain petugas barisan hadapan, pekerja media juga boleh melalui laluan berkenaan dengan syarat menunjukkan pas atau kad media serta surat kebenaran dari syarikat masing-masing,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.