VIDEO: Lamborghini Huracan langgar Perodua Viva, pemandu hadiahkan sebuah Myvi sebagai ganti

Walaupun kita dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, masih ada juga kejadian atau kemalangan di jalanraya. Agaknya, sekali dapat keluar untuk dapatkan barang-barang keperluan yang penting, seronok dia boleh jadi lain macam. Tambahan pula, jalan kosong.

Agaknya itulah yang berlaku awal minggu ini, di dalam satu kejadian perlanggaran melibatkan sebuah Lamborghini Huracan. Mungkin, ketika dalam perjalanan mendapatkan barangan keperluan ketika itu, di persekitaran yang nampak seperti taman perumahan, keadaan nampak seperti semuanya terkawal. Hinggalah apabila Lamborghini berkenaan tiba di satu selekoh dan sebuah Perodua Viva yang berada di depannya dan dalam arah yang sama kelihatan teragak-agak seperti ingin memasuki simpang ke kanan – melintasi garisan berkembar.

Melihat keadaan itu, Lamborghini di belakang seolah-olah ingin memintas dari sebelah dalam jalan, menekan minyak untuk terus kekal di jalan dan hala yang sama. Namun apa yang berlaku selepas itu agak menyedihkan. Supercar berkenaan telah merempuh Viva di hadapannya dalam kadar yang kuat. Dalam video yang boleh dilihat ini, Viva berkenaan terpelanting dengan bahagian belakangnya remuk teruk. Bagaimanapun, nasib menyebelahi mereka – tiada siapa yang cedera serius. Mujur tak ada orang duduk di kerusi belakang Viva.

Laporan polis dibuat. Tetapi, ceritanya tak habis di situ sahaja; pengakhirannya lebih manis. Menurut laporan, pemandu Viva itu merupakan seorang ibu tunggal, yang mengusahakan servis penghantaran makanan masak di rumah ketika PKP. Ketika kejadian, adiknya yang memandu yang ketika itu sedang dalam perjalanan mengambil bekalan kotak makanan untuk perniagaan mereka. Biasanya, tiga anaknya akan ikut sekali, tetapi disebabkan PKP, hanya dia yang memandu berseorangan.

Kemalangan itu menyebabkan adik-beradik itu hilang kenderaan untuk penghantaraan bagi perniagaan makanan mereka. Dalam keadaan seperti sekarang, ini sangat merumitkan keadaan. Tetapi, semua itu ada hikmahnya. Mengetahui keadaan itu, pemandu Lamborghini berkenaan bermurah hati untuk menghadiahkan sebuah Perodua Myvi sebagai kereta ganti untuk membolehkan mereka meneruskan perniagaan. Harapnya urusan berkaitan pemeriksaan dan pendaftaran kenderaan terbabit dapat diselesaikan secepat mungkin selepas PKP tamat.

Mujur ada kisah seperti ini yang membuatkan kita kembali merasa adanya harapan untuk kita semua terus berada dalam kebaikan. Kepada yang memandu, tidak kira bila anda keluar dan ke mana pun tujuan anda – semasa PKP atau pun sebaliknya – selalulah beringat untuk berhemah di jalanraya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required