Menipu untuk lepas sekatan jalan raya semasa PKP satu tindakan pentingkan diri, menyusahkan orang lain



Sepatutnya tak susah pun untuk faham; Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung ketika ini – yang belum tentu bila akan berakhir – adalah satu cara untuk negara kita melawan penularan wabak Covid-19. “Satu cara” kerana PKP ini adalah antara rangkaian usaha-usaha lain yang sedang berlangsung untuk tujuan yang sama.

Ujian saringan kepada kelompok bersasar, ujian terhadap ubat-ubatan untuk digunakan dalam rawatan, usaha kuarantin berpusat dan lain-lain lagi adalah contoh strategi “perang” kita berdepan dengan wabak berkenaan. Dan, melihat kepada skala kes seluruh dunia, setiap individu yang bertanggungjawab akan tahu bahawa ia bukanlah satu yang yang boleh dibuat main.

Di Malaysia, PKP telah terbukti dapat membantu membendung penularan ini; sejak beberapa minggu ini, purata kes positif setiap hari walaupun masih ada, tetapi telah mendatar dengan purata sekitar 100 lebih kes sehari. Inilah tujuan mengapa PKP dilaksanakan.

Menipu untuk lepas sekatan jalan raya semasa PKP satu tindakan pentingkan diri, menyusahkan orang lain

Tetapi, dalam tempoh ini juga, kita dapat melihat sebahagian sikap warga sendiri yang tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri sendiri. Mereka sentiasa mencari alasan untuk berada di atas jalan raya walaupun tujuannya remeh-temeh.

Contoh terbaru, seperti yang kongsikan di laman Facebook Polis Daerah Dungun; orang-orang yang menipu di sekatan jalan raya untuk melepaskan diri, dan kemudiannya berbangga dengan tindakan tidak bertanggungjawab mereka itu. Agaknya ini satu bentuk “sakit” yang baru muncul, sekali dengan perkembangan media sosial.

Gambar pertama menunjukkan seorang pelaku yang menunjukkan tanda rasmi Petugas Kesihatan, yang diberikan kepada mereka yang terlibat sebagai frontliners untuk memudahkan pergerakan mereka. Yang jadi masalah, bukan si pelaku yang bertugas di barisan hadapan, tetapi isterinya.

Menipu untuk lepas sekatan jalan raya semasa PKP satu tindakan pentingkan diri, menyusahkan orang lain

Dalam gambar kedua yang dikongsi oleh laman rasmi yang sama pula ialah sebuah tangkap layar Whatsapp menunjukkan sebuah keluarga empat beranak, yang katanya telah selamat sampai ke KL (tidak dinyatakan dari mana) dan melepasi sekatan jalan yang ada dengan memberi alasan ingin ke hospital, dan anak tak ada siapa yang jaga.

Harapnya pihak berkuasa boleh lakukan siasatan lanjut berkaitan kes-kes seperti ini. Jika terang-terangan mereka melanggar PKP, maka tindakan tegas perlu di ambil. Kerana, sikap seperti inilah yang akan menyusahkan orang lain, terutama mereka yang betul-betul perlu bertugas – jangan salahkan pihak berkuasa sekiranya sekatan jalan dan pemeriksaan lebih ketat dilakukan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required