Awas untuk individu yang berjaya meloloskan diri untuk pergerakan rentas negeri ketika musim perayaan Aidilfitri ini. Polis kontijen negeri telah memberikan amaran akan menahan mana-mana individu terbabit di mana pasukan pemantau akan mengadakan pemeriksaan kenderaan yang diparkir di luar kediaman di kawasan perumahan dan kampung bagi mengesan mereka yang melakukan perjalanan tanpa kebenaran.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pasukan terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta tentera itu akan memeriksa nombor pendaftaran kenderaan, terutama jika ada banyak yang diparkir di luar rumah atau dalam kawasan perumahan.

“Kami akan memeriksa semula nombor pendaftaran dengan senarai kami dan melihat sama ada kenderaan dan pemiliknya dibenarkan untuk perjalanan antara negeri atau tidak. Sekiranya kami mengetahui ada pihak melanggar perintah larangan perjalanan rentas negeri, kami akan menahan pemilik kenderaan.

“Tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 akan diambil terhadap pelakunya kerana masa untuk amaran sudah berakhir,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

Manakala Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob pula memberi amaran pihaknya akan bertindak menangkap serta menahan individu yang cuba merentas sempadan pulang ke negeri itu.

“Jangan anggap anda lepas pulang ke kampung untuk beraya, tetapi anda akan diburu sehingga ke rumah. Jadi, saya ingin memberi amaran, bukan sahaja kepada rakyat negeri Kedah, tetapi kepada mereka yang akan balik ke Kedah.

“Bukan sahaja kita sekat di sekatan jalan raya tetapi kita akan membuat pemerhatian di rumah-rumah. Di mana kita syaki berlaku rentas sempadan, kita akan ambil tindakan setegas-tegasnya terhadap mereka,” ujarnya menerusi laporan Astro Awani.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 1,633 kenderaan lagi dikesan pada Isnin lalu, cuba untuk merentas negeri untuk pulang beraya di kampung masing-masing, meningkat dari hari-hari sebelumnya.