Hari ini, kerajaan telah memutuskan pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan sama sekali bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19. Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut menegaskan kenderaan yang cuba merentas negeri bukan hanya akan diarah berpatah balik tetapi juga turut dikenakan kompaun di sekatan jalan raya.
“Kerajaan telah memutuskan pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan sama sekali. Justeru, orang ramai tidak perlu lagi ke balai polis untuk mendapatkan surat kebenaran. Kita tidak akan bertolak ansur lagi dalam soal rentas negeri ini,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, sebentar tadi.
Keputusan ini terpaksa diambil memandangkan orang ramai masih lagi berdegil untuk cuba melakukan pergerakan merentas negeri.
Menurutnya, semalam sahaja sebanyak 2,412 kenderaan cuba merentas negeri dan dinasihatkan polis berpatah balik.
“Minat mereka yang ingin balik ke kampung sempena Aidilfitri ini masih tidak berubah walaupun setiap hari kita mengeluarkan nasihat. Contohnya, semalam terdapat lebih 1,300 individu yang beratur di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk meminta kebenaran polis untuk balik ke kampung. Mereka sanggup beratur di tengah panas dengan alasan untuk mencuba nasib,” katanya.
Apabila ditanya tentang permohonan rentas negeri yang telah diluluskan sebelum ini, Ismail Sabri berkata, “Kalau diluluskan sekali pun, tentu saja lulus untuk balik kampung untuk hari berkenaan sahaja, bukannya tiga-empat hari sebelum. Itu pun kerana hal kecemasan seperti kematian, selain dari itu, polis tidak akan benarkan. Jadi tak timbul isu, dah lulus tapi tarik balik.”
Berkenaan dengan orang ramai yang dapat lolos pergerakan rentas negeri untuk pulang ke kampung, Ismail menegaskan, “Jangan fikir kalau ada terlepas balik ke kampung, tapi belum tentu boleh lepas bila nak balik ke rumah sendiri nanti, polis juga boleh mengesan individu tersebut.”
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.