Audi Q5 facelift 2020 – gaya, kelengkapan dipertingkat

Audi Q5 facelift 2020 – gaya, kelengkapan dipertingkat

Audi Q5 generasi kedua yang berada dalam pasaran sekarang sudah berusia lebih tiga tahun dan sekarang pengeluar dari Jerman itu telah memberikannya facelift. Selain perubahan gaya yang menjadikannya lebih iras kepada model Q lain, kelengkapan Q5 juga diberikan peningkatan.

Rupa yang baru ini terdiri daripada gril Singleframe yang lebih nipis, menyamai seperti Q8, lampu LED yang direka semula (boleh dipilih dengan LED matriks) bersama pencahayaan DRL unik baru serta bukaan udara di bucu bampar lebih besar.

Apabila dipilih dengan pakej kemasan yang lebih tinggi, SUV ini akan dihiasi dengan kemasan krom menegak pada gril dan kemasan perak pada bahagian bampar. Pakej S Line pula datang dengan kemasan gril honeycomb dan jalur krom pada diffuser belakang. Kedua-duanya datang dengan rim 18 inci tapi masih disediakan dengan pilihan 19 inci dan 20 inci yang lain.

Menurut Audi, bampar baru menambah 19 mm kepada panjang keseluruhan kenderaan, yang kini berukuran 4.68 meter, manakala lebar (1.89 meter), tinggi (1.66 meter) dan jarak roda (2.82 meter) masih lagi tidak berubah seperti sebelum ini. Pada bahagian belakang, lampu baru dengan teknologi OLED boleh dipilih dengan tiga pencahayaan yang berbeza.

Audi Q5 facelift 2020 – gaya, kelengkapan dipertingkat

Semasa pelancaran, Audi juga akan menawarkan Q5 “edition one” yang menggunakan asas daripada S Line, tetapi dipasang dengan kemasan hitam pintu belakang, rel bumbung, cermin sisi, lencana serta kemasan pintu karbon. Pakej ini turut memberikan angkup brek warna merah, rim 19 inci serta tempat duduk sport.

Pada bahagian dalam, bentuk asas papan pemuka Q5 masih lagi sama, tetapi ia sekarang dipasang dengan Modular Infotainment Platform generasi ketiga (MIB 3) seperti yang terdapat pada A4 dan A3 terbaru. Sistem ini terdiri daripada skrin sesentuh MMI 10.1 inci yang mampu memberikan akses kepada pelbagai pemain media serta sistem sambungan, dengan kuasa memproses 10 kali lebih pantas berbanding MIB2.

Kokpit virtual Audi masih lagi terdapat SUV ini, di mana ia termasuk panel instrumen digital 12.3 inci yang boleh dikawal menggunakan butang pada stereng. Jika mahu, pelanggan boleh menambah pula head-up display, yang disediakan sebagai pilihan tambahan.

Pada bahagian mekanikal, empat tetapan suspensi disediakan iaitu pilihan standard dengan pengawal penyerap atau tanpa pengawal penyerap, sports serta suspensi udara adaptif. Untuk suspensi udara itu, terdapat lima tahap tinggi dan ia boleh dikawal menggunakan sistem Audi Drive Select sehingga tujuh profail.

Apabila masuk ke dalam pasaran nanti, model ini akan ditawarkan sebagai Q5 40 TDI, dengan dikuasakan enjin empat silinder diesel turbo TDI 2.0 liter berserta sistem hibrid ringkas. Enjin ini mampu memberikan kuasa 204 PS (201 hp), 400 Nm tork dan dipadankan bersama tranmsisi klac berkembar S Tronic tujuh kelajuan serta sistem pacuan semua roda Quattro.

Audi memberitahu sistem hibrid ringkas ini membantu mengurangkan penggunaan bahan api dan terdiri daripada unit starter-generator (BSG) yang disambung kepada bateri lithium ion pada sistem elektrikal 12 volt. Ini membantu menjana semula kuasa apabila meluncur atau membrek, dan membenarkan fungsi start-stop untuk beroperasi pada kelajuan bawah 22 km/j.

Beberapa enjin lain yang akan ditawarkan pada Q5 facelift ini adalah terdiri daripada unit TDI empat silinder dengan talaan kuasa berbeza, V6 TDI (kemungkinan untuk SQ5 TDI) dan dua versi enjin TFSI empat silinder 2.0 liter. Enjin plug-in hybrid TFSI juga didatangkan dalam dua talaan kuasa.

Akhir sekali, Q5 mendapat beberapa peningkatan sistem bantuan, termasuk Side Assist, Lane Departure Warning, Pre Sense Rear, Rear Cross Traffic Assist, Adaptive Cruise Control dengan bantuan kesesakan trafik, Around-View Monitor serta Adaptive Cruise Control dengan bantuan kesesakan trafik. Sistem lain yang disediakan sebagai pilihan adalah Turn Cssist, collision Avoidance Assist dan Exit Warning Systems.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required