Pembuat kereta sport dari Jerman, Porsche kini telah menghasilkan omboh untuk enjin model hardcore bagi 911 iaitu versi GT2 RS dengan menggunakan pencetak 3D. Dengan kaedah penghasilan ini, ia bukan sahaja dapat diproduksi dengan lebih mudah, malah dengan kemampuan untuk membentuk yang lebih diperhalusi, ia turut boleh menghasilkan omboh yang dapat mengekstrak kuasa lebih besar.

Dengan proses pencetak 3D ini, omboh yang dihasilkan dengan kerjasama Mahle dan Trumps tersebut direka dengan struktur yang dioptimumkan untuk beban yang bertindak padanya. Jadi, berbanding omboh yang dihasilkan secara forged sebelum ini, omboh yang dibuat dengan proses pencetak 3D berkenaan boleh dihasilkan 10 peratus lebih ringan.

Omboh baharu ini juga mempunyai liang penyejuk bersepadu dan tertutup pada bahagian atas omboh berkenaan yang tidak boleh dibuat sekiranya ia diproduksi menggunakan kaedah konvensional. Dengan berberapa penambahbaikkan ini, omboh berkenaan mampu menghasilkan kuasa yang lebih besar, dakwa Frank Ickinger dari jabatan pembangunan pemanduan termaju Porsche.

“Terima kasih kepada omboh baharu, yang lebih ringan ini, kami mampu menaikkan kelajuan enjin, merendahkan beban suhu pada omboh dan mengoptimakan pembakaran. Ini membolehkan ia menghasilkan 30 PS lebih kuasa dari enjin biturbo 700 PS, dalam masa yang sama memperbaiki kadar efisien,” jelas Ickinger.

Omboh baharu untuk 911 GT2 RS ini dihasilkan dengan material serbuk logam berketulenan tinggi menggunakan proses pelakuran logam laser (LMF). Seperti komponen-komponen hasil pencetak 3D yang lain, omboh ini turut dihasilkan dengan proses lapisan demi lapisan tanpa sebarang acuan, dan ia dicetak berdasarkan rekaan terus dari komputer, serta dioptimakan dengan kepintaran buatan (A.I).

Setelah produk siap dicetak, kualiti dan kebolehan prestasinya akan disahkan dengan menggunakan teknologi menyukat dari rakan projek mereka, Zeiss. Selain dari menghasilkan omboh ini, Porsche sudah pun menghasilkan pelbagai komponen lain dari pencetak 3D berkenaan, terutamanya komponen-komponen model klasik yang tidak lagi diproduksi seperti tuas pelepas bagi sistem klac Porsche 959.