Nissan Ariya SUV elektrik diperkenal – hingga 388 hp, jarak 610 km, e-4FORCE AWD, 0-100 km/j 5.1 saat

Nissan Ariya SUV elektrik diperkenal – hingga 388 hp, jarak 610 km, e-4FORCE AWD, 0-100 km/j 5.1 saat

Nissan bakal mengorak lembaran dalam penawaran teknologi elektrifikasinya melalui pengenalan model Ariya, SUV elektrik sepenuhnya yang pertama jenama itu. Merupakan lanjutan kepada model konsep yang ditunjuk ketika Tokyo Motor Show tahun lalu, ia melambangkan lonjakan besar bagi Nissan dari segi rekaan, teknologi dan prestasi.

Dibangun menggunakan platform kenderaan elektrik khas serba baru, Ariya menjadi model pertama yang menampilkan identiti kenderaan elektrifikasi jenama berkenaan. Profil reka bentuknya masih dikekalkan mirip unit yang dipamerkan sebelum ini, dengan garis bumbung yang rendah, bonet pendek dan wajah depan yang menawan.

Gril lama telah digantikan dengan apa yang Nissan panggil shield, dengan logo baru di tengah. Panel ini, yang menampilkan corak kumiko di bawah permukaannya, menempatkan sensor-sensor bagi ciri pemanduan autonomous ProPilot. Melengkapkan bingkai bahagian berkenaan ialah jalur cahaya, yang digabungkan bersama lampu LED untuk memberikan visual V-motion.

Nissan Ariya SUV elektrik diperkenal – hingga 388 hp, jarak 610 km, e-4FORCE AWD, 0-100 km/j 5.1 saat

Profil sisi pula didominasi oleh permukaan dan garis yang bersih. Hanya satu garis bahu yang menghubungkan bahagian depan dan belakang. Fender roda belakang juga kelihatan sangat minimal, diikuti lampu belakang dengan kemasan gelap yang melintang penuh serta spoiler yang sporty.

Lima warna ditawarkan dengan sembilan skim warna dua-tona ditawarkan. Ariya turut ditawarkan dengan pakej Akatsuki, menampilkan iras warna tembaga yang diilhamkan oleh cahaya fajar pagi. Rim aloi 19-inci lima-jejari datang standard, dengan pilihan roda 20-inci bergantung kepada varian.

Di dalam juga menempatkan sentuhan futuristik yang sama seperti di luar, dengan kabin yang tampak bersih dan ringkas, memperlihatkan ruangnya yang begitu luas. Menurut Nissan, ini yang terbaik dalam kelasnya. Lantai rata dan terbentang pula didakwa dapat menyediakan ruang kaki yang luas dan membolehkan interaksi yang lebih banyak antara penumpang. Tempat duduk Zero Gravity Nissan juga hadir dengan reka bentuk yang nipis.

Nissan Ariya SUV elektrik diperkenal – hingga 388 hp, jarak 610 km, e-4FORCE AWD, 0-100 km/j 5.1 saat

Papan pemuka minimalisnya pula disertai pula oleh tobol dan butang konvensional. Konsol perehat lengat di tengah boleh dilaras mengikut kesesuaian dan keselesaan pemandu. Dari rekaan tombol pemilihan gearnya sahaja juga sudah mencadankan suasana dan pemanduan bersahaja yang dimiliki SUV ini.

Terdapat dua panel apungan dengan paparan 12.3-inci, satu untuk instrumen pemanduan dan satu lagi untuk sistem infotainmen. Antaramuka pengguna juga baru, dengan sistem kawalan suara “hibrid” turut tersedia dengan pengensanan bahasa canggih, yang boleh dimulakan dengan memanggil “Hello Nissan” atau “Hey Nissan”. Selain itu, boleh juga menggunakan Alexa Amazon untuk mengawal muzik, membuat panggilan dan mengawal peranti pintar lain.

Ariya didatangkan dengan pakej keselamatan ProPilot 2.0, yang membolehkan pemanduan autonomous tanpa input pemandu bagi lorong tunggal di lebuhraya, termasuk membantu untuk penukaran lorong. Sistem berkenaan menggunakan tujuh kamera, sensor gelombang radar lima milimeter dan 12 sensor sonar sebagai deria bagi SUV ini untuk mengesan dan memahami persekitarannya. Ini bersekali dengan sistem tunjuk arah dan data peta 3D definisi tinggi. Di Jepun, Ariya turut ditawarkan dengan ciri ProPilot Park, yang membolehkan pengguna meletak kenderaan dari kawalan jauh menggunakan kunci pintar.

Ariya akan dijual dengan dua pilihan kapasiti bateri lithium-ion, 63 kWh dan 87 kWh, dengan sistem pacuan belakang ataupun semua roda. Dengan bateri kapasiti lebih kecil itu, varian berkenaan mampu menghasilkan 160 kW (215 hp) dan 300 Nm tork, dengan jarak perjalanan sehingga 450 km berdasarkan kitaran WLTP, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat.

Motor dilonjakkan sehingga 178 kW (239 hp) dengan bagi versi dengan bateri 87 kWh, tetapi ia sedikit lambat bagi pecutan 0-100 km/j, dengan masa 7.6 saat. Bagaimanapun, jarak perjalanan yang mampu diberikan adalah yang paling jauh, iaitu 610 km. Bagi kedua-dua varian, laju maksimum ialah 160 km/j.

Varian dengan sistem pacuan semua roda pula menerima lonjakan kuasa yang lebih dengan motor elektrik berkembar yang melengkapinya. Model 63 kWh menghasilkan 250 kW (335 hp) dan 560 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat dengan jarak perjalanan 430 km. Bagi model 87 kWh, yang menghasilkan 290 kW (388 hp) dan 600 Nm dan mampu bergerak hingga jarak 580 km dengan sekali cas. Pecutan 0-100 km/j pula dalam masa 5.1 saat sahaja.

Nissan memaklumkan, dengan pengecas pantas 130 kW CHAdeMO di Jepun, Ariya boleh memberikan jarak perjalanan 375 km dalam tempoh 30 minit. Bateri berkenaan, yang terletak di bawah lantai untuk menjadikan titik graviti yang lebih rendah, menampilkan rekaan yang nipis untuk menyediakan ruang yang selesa dalam kabin. Suspensi pula ditala untuk memberikan keselesaan dan kestabilan pemanduan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required