Nissan telah mula menunjukkan iklan acah bagi model Ariya terbaru, sebelum pelancaran rasminya yang akan dilakukan minggu ini, menunjukkan sedikit penampilan crossover elektrik itu. Versi konsep EV ini pertama kali dipamerkan ketika Tokyo Motor Show tahun lalu.

Dua video ringkas ini memberi petunjuk kepada aspek rekaan yang pernah dilihat pada kenderaan Nissan sebelum ini, termasuk logonya yang pernah ditunjukkan pada model konsep sebelum ini. Warna dan kemasan cat yang tampil sebelum ini juga dikekalkan, sementara slot pengecas terletak di sebelah kanan badan kenderaan.

Lampu utama LED diberikan pembaharuan, secara keseluruhannya ia kekal sama seperti yang pernah ada pada model konsep, dengan pencahayaan empat elemen serta elemen palang yang menempatkan gril V-motion moden. Bahagian belakang juga datang dengan jalur cahaya antara lampunya, walaupun tanpa kesan 3D seperti pada model konsep.

Di belakang, kelihatan untuk pertama kali ialah lencana e-4ORCE, yang mencadangkan sistem janaan kuasa dua motor yang ada pada Ariya. Nissan terlebih dahulu pernah mempamerkan sistem berkenaan tahun ini ketika acara Consumer Electronics Show (CES) melalui unit pembangunan Leaf.

Tak banyak yang boleh diperkatakan tentang ruang dalamannya, melainkan butang kawalan tingkap sebelah pemandu yang dapat dilihat. Ini juga tidak jauh daripada model konsepnya. Perincian lanjut akan didedahkan sebaik Ariya diperkenalkan secara rasmi dalam minggu ini.