Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah memaklumkan projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dijangka siap sepenuhnya pada 28 Feb 2024.

Menurutnya, setakat 30 Jun lalu, projek tersebut telah telah mencapai 33.12% keseluruhan projek. Di mana projek dengan jajaran sepanjang 37.8 kilometer itu, menghubungkan penumpang dari koridor barat Lembah Klang dan pusat bandar raya Kuala Lumpur bakal dimanfaatkan lebih dua juta penduduk di kawasan berkenaan. Ia akan mengendalikan kira-kira 67,000 penumpang sehari pada peringkat permulaan, sebelum sistem rel urban ‘Greater Klang Valley’ siap sepenuhnya nanti.

“Selain mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di Lebuhraya Persekutuan Kuala Lumpur–Klang sekarang, penyambungan jajaran LRT3, yang berintegrasi dengan laluan LRT Kelana Jaya di Stesen Glenmarie, turut menjadi sandaran sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Tambahnya lagi, projek LRT3 ini buat pertama kali menggunakan blok ‘U-trough girder’ iaitu, komponen pembinaan akan diprabina terlebih dahulu, di sebuah fasiliti di Bandar Saujana Putra sebelum dibawa ke tapak pelancaran.

Jelasnya, kaedah pembinaan ini dipilih kerana kos yang lebih efisien, tempoh kerja pembinaan yang lebih cepat, selain improvisasi terhadap impak visual.

“Secara keseluruhan, projek ini akan menggunakan sebanyak 2,060 unit ‘U-trough girder’ bagi melengkapkan jajaran berkenaan. Setakat ini, 158 unit sudah dibina dengan 24 unit telah dilancarkan dan dipasang,” katanya.