Nak beli jentera rali sebenar Proton Satria Neo S2000? Ini peluang anda – Melvyn Evans Motorsport dari UK mengumumkan sebuah kereta berkenaan dibuka untuk dijual, dengan harga £79,500 atau sekitar RM437k! Unit yang dijual berkenaan adalah dari versi tingkat taraf yang menggunakan enjin Millington 2.5 liter bagi menggantikan enjin 2.0 liter asal.

Kerangka dengan nombor pendaftaran ‘YN09 DOH’ ini merupakan kerangka ke-7 Satria Neo S2000 yang dihasilkan oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM). Seperti kerangka-kerangka lain, ia memulakan hayatnya dengan dijana oleh 2.0 liter NA berkuasa 278 hp dan tork maksima 271 Nm, dihasilkan dari enjin Renault yang berasal dari perut Proton Waja 1.8X.

Kereta ini tidak pernah dipandu oleh Per-Gunnar Andersson dalam mana-mana pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) atau Alister McRae dan Chris Atkinson dalam mana-mana pusingan Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC). Tetapi ia telah dipandu oleh pemandu British, Guy Wilks dalam Pirelli International Rally 2009.

Satria Neo S2000 YN09 DOH tersebut kemudiannya dipandu oleh anak kepada Chris Mellors, prinsipal pasukan MEM iaitu Oliver Mellors (pemandu utama MEM yang sekarang mengemudi Proton Iriz R5) dalam berberapa rali peringkat nasional di Britain pada tahun 2014.

Selepas itu barulah MEM menaiktaraf kerangka ini dengan enjin Millington ‘Diamond Series 2’ bagi menggantikan enjin asal. Enjin baharu tersebut menampilkan kapasiti 500 cc lebih besar dengan sesaran 2.5 liter, juga tanpa pengecas turbo, membolehkan ia menjana sekitar kuasa kuda 329-359 PS dan tork sekitar 332-345 Nm bergantung pada talaan.

Ia kemudian dijual kepada pasukan persendirian dan berlumba bersama berberapa orang pemandu berbeza sekitar UK dari tahun 2015 hingga 2019.

Menurut Melvyn Evans Motorsport, kereta tersebut sekarang tampil dengan set talaan untuk rali di atas permukaan tar, menampilkan rim 18-inci dengan tayar berprofil rendah, serta set suspensi dari Reiger untuk berlumba dalam tarmac rally. Perbatuan enjin juga masih rendah selepas kali terakhir enjin Millington tersebut dileraikan dan dibina kembali.

Dengan spesifikasi tersebut, Proton Satria Neo “Super 2500” ini sudah lagi tidak layak untuk bertanding dalam kejohanan seliaan terus FIA seperti WRC3, ERC mahupun APRC – jika layak sekali pun, ia sudah tidak kompetitif untuk bertanding dengan jentera-jentera R5 dan AP4 terkini yang menampilkan kuasa kuda jauh lebih besar.

Namun jika anda berada di Eropah, kereta ini masih pilihan yang baik untuk bertanding dalam perlumbaan rali peringkat nasional mahupun perlumbaan hill climb. Jika di bawa ke Malaysia, sekali lagi diingatkan ia tidak lagi boleh berlumba dalam APRC, manakala Kejohanan Rali Malaysia (MRC) pula sudah pun berkubur pada penghujung musim 2018.

Tapi kalau mampu dan nak beli untuk buat koleksi serta sekali-sekala belasah kereta ini di ladang getah dan sawit apa salahnya kan?