Proton Iriz R5, Oliver Mellors kutip 14 mata berharga pada pusingan pertama BRC, Cambrian Rally 2020

Proton Iriz R5, Oliver Mellors kutip 14 mata berharga pada pusingan pertama BRC, Cambrian Rally 2020

Pusingan pertama British Rally Championship (BRC) untuk musim ini iaitu Rali Cambrian 2020 telah pun berakhir Sabtu lalu dan dimenangi oleh Juara BRC 2018 dan 2019, Matt Edwards dari pasukan M-Sport Ford. Bagi pasukan Proton Motorsport dikendalikan oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM) yang kembali semula ke dalam kejohanan ini selepas tiga tahun, dua pemandu mereka yang memandu Proton Iriz R5 iaitu Oliver Mellors dan James Williams berjaya menduduki tangga keempat dan kelima.

Ini membolehkan Ollie dan juruarahnya Ian Windress mengutip 14 mata berharga dan berada di tangga keempat keseluruhan BRC 2020, manakala Williams bersama pembantunya Dai Roberts pula berada di tempat kelima dengan 10 mata.

Rali Cambrian 2020 dimulakan dengan naib juara musim lalu, Tom Cave dari pasukan PCRS Rallysport yang memandu Hyundai i20 R5 menguasai SS pertama dengan masa 5 minit 29.9 saat, meninggalkan pemandu WRC2 dari pasukan M-Sport Ford, Rhys Yates yang memandu Fiesta R5 Mk.II hanya 0.6 saat di belakang.

Ollie Mellors yang berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini pada SS1 ini tiba di garisan penamat dengan masa 5 minit 39.8 saat untuk berada di tempat kelima, diikuti Williams di belakangnya yang tertinggal 4.5 saat.

Matt Edwards yang hanya berada di tempat keempat pada SS1 kerana enjin keretanya mati ketika mahu berlepas walau bagaimanapun melakukan kebangkitan di SS2 dengan mencatatkan masa terpantas meninggalkan Tom Caves 1.6 saat di belakang.

Lebih malang untuk Cave kerana pada SS3, kesilapannya dengan melanggar batu menyebabkan rim belakang sebelah kirinya pecah, menyebabkan dia jatuh ke tempat ke-10 secara keseluruhan setelah tamat SS berkenaan, dan memberikan peluang kepada Edwards untuk merampas tempat pendahulu perlumbaan.

Proton Iriz R5, Oliver Mellors kutip 14 mata berharga pada pusingan pertama BRC, Cambrian Rally 2020

Pada SS4, Ollie Mellors melakukan kejutan dengan menamatkan laluan tersebut dengan masa kedua terpantas, hanya ketinggalan 7 saat di belakang Edwards. Walau bagaimanapun, pada SS kelima kemalangan terjadi menyebabkan kerosakan pada hab roda belakang kereta ini.

Ollie berjaya melakukan pembaikkan sendiri di tepi jalan sebelum bermulanya SS6, tetapi ketika itu hanya brek hadapan yang berfungsi.

Dan pada SS terakhir ini juga, pemandu pasukan Motorsport Ireland, Josh McErlean yang memandu sebuah lagi Hyundai i20 R5 melakukan kesilapan dengan melanggar batu pada selekoh terakhir menyebabkan sistem sterengnya rosak menyebabkan dia tidak dapat meneruskan perlumbaan, membolehkan Ollie naik ke tempat keempat secara keseluruhan, dengan kereta yang tidak stabil kerana brek belakang tidak berfungsi

Walaupun tidak memperolehi podium pada pusingan pertama ini, keputusan yang dicatatkan oleh Ollie sudahpun menyamai keputusan terbaiknya dalam BRC 2016 dahulu. Manakala untuk James Williams, keputusan yang dicatatkan pada Rali Cambrian ini sudah lebih dari cukup kerana pada musim lalu, dia hanya memandu Fiesta R2 pacuan roda hadapan dalam kategori Junior.

Peluang untuk memandu jentera R5 ini ditawarkan kepada Williams oleh MEM pada saat akhir, dan dia hanya dapat mencuba jentera yang jauh lebih berkuasa dengan pacuan semua roda ini sehari sebelum bermulanya perlumbaan sebenar. Jadi dapat menghabiskan rali dalam kelompok sama dengan sebahagian pemandu-pemandu WRC2 seperti Rhys Yates dan Tom Cave hanya pada percubaan pertama adalah sesuatu yang istimewa.

Selepas ini, BRC akan bergerak ke Republik Ireland untuk pusingan kedua, Rali West Cork yang akan berlangsung dari 14 hingga 15 Mac.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required