Proton Iriz R5 bakal berhadapan cabaran hebat dari Hyundai i20 R5 dan Ford Fiesta R5 di BRC 2020

Proton Iriz R5 bakal berhadapan cabaran hebat dari Hyundai i20 R5 dan Ford Fiesta R5 di BRC 2020

Seperti yang diumumkan bulan lalu, Pasukan Proton Motorsport yang dikendalikan oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM) bakal memulakan cabaran musim penuh Kejuaraan Rali British (BRC) 2020 dengan jentera Proton Iriz R5 yang akan bermula di Rali Cambrian hujung minggu ini. Berbeza dengan siri rali BTRDA yang disertai oleh mereka sebelum ini, siri BRC menyajikan cabaran yang jauh lebih hebat kerana disertai oleh pasukan, jentera dan juga pemandu dalam kelas yang lebih tinggi.

Jadi siapa yang bakal menjadi penghalang buat pemandu Proton-MEM, Oliver Mellors bersama juruarah Ian Windress untuk merangkul gelaran juara BRC 2020 ini? Tentangan hebat sudah tentu akan diberikan oleh juara BRC 2018 dan 2019, Matt Edwards bersama juruarahnya, Darren Garrod.

Edwards memandu Ford Fiesta R5 untuk pasukan M-Sport, iaitu pasukan sama yang mengendalikan Pasukan Rali Dunia Ford buat masa sekarang, dikemudi lagenda rali British, Malcolm Wilson. Menerusi pasukan ini juga, Elfyn Evans yang merangkul tempat ketiga di pusingan pertama WRC 2020, Rali Monte Carlo dua minggu lalu dengan memandu Toyota Yaris WRC berjaya dinobatkan sebagai juara BRC 2016, dan kemudiannya dia di bawa ke WRC oleh M-Sport sendiri.

Kemudian, Olie juga perlu berhadapan dengan naib juara BRC 2019, Tom Cave bersama juruarah Dale Furniss. Cave yang memandu Hyundai i20 R5 untuk pasukan PCRS Rallysport hanya ketinggalan 13 mata berbanding Edwards dalam kejohanan musim lalu.

Proton Iriz R5 bakal berhadapan cabaran hebat dari Hyundai i20 R5 dan Ford Fiesta R5 di BRC 2020

Cave juga membuat kejutan dalam WRC pusingan ke-12, Rali GB tahun lalu dimana beliau dan Hyundai i20 R5 berkenaan berjaya menamatkan perlumbaan tersebut di tempat ke-11 secara keseluruhan, dan meraih podium tempat ketiga dalam kategori WRC2.

Seorang lagi pemandu yang perlu diberi perhatian oleh MEM-Proton adalah Rhys Yates, yang baru sahaja pulang dari Rali Monte Carlo 2020 dengan membawa pulang 12 mata setelah berjaya merangkul tempat keempat dalam kategori WRC2. Seperti Edwards, Yates memandu Ford Fiesta R5 untuk pasukan M-Sport.

Untuk cabaran pusingan pertama BRC 2020, Rali Cambrian minggu ini, sebuah lagi Iriz R5 turut akan mengiringi tugas yang digalas oleh Olie Mellors, iaitu jentera yang akan dikemudi oleh penyandang tempat ketiga BRC kategori Junior tahun lalu, James Williams bersama juruarahnya Dai Roberts.

“Saya telah memandu jentera R5 Fiesta dan Hyundai semasa ujian BRC di mana ia adalah pengalaman yang bagus, jadi saya ada tanda aras asas membolehkan saya lihat di mana tahap Iriz berbanding jentera lain. Saya sangat terkejut dengan pakej dari Proton. Pemandu rasmi pasukan Ollie Mellors telah membuktikannya dalam acara-acara BTRDA bahawa kereta ini sangat kompetitif, dan saya harap kami dapat membuat perkara yang sama dan jika peluang semakin luas, saya akan meneruskannya lebih dari pusingan pertama kerana saya sangat teruja dengan projek ini,” kata Williams yang kini hanya berumur 21-tahun.

Proton Iriz R5 bakal berhadapan cabaran hebat dari Hyundai i20 R5 dan Ford Fiesta R5 di BRC 2020

Bagi Olie Mellors sendiri, beliau yakin Iriz R5 yang diujinya sendiri sepanjang tiga-tahun pembangunannya itu bakal mempamerkan aksi meyakinkan dan dia sendiri mensasarkan podium pertama BRC akan dikecapi menerusi kereta ini.

“Saya sentiasa yakin dengan kebolehan kereta ini dan kejayaan tahun lalu menambah keyakinan ini untuk saya dan pasukan. Kami rasa 2020 merupakan tahun yang tepat untuk melancarkan Iriz dalam BRC di mana ia benar-benar boleh dibandingkan dengan jentera-jentera terkini yang ada sekarang,” kata Olie.

Beliau juga menyatakan BRC adalah platform terbaik untuk bermula sebelum mereka dapat melangkah ke WRC. “Kami tidak menyembunyikan fakta bahawa WRC adalah sasaran kami dengan Proton dan Kejuaraan Rali British ini sepatutnya menjadi batu loncatan yang baik untuk sasaran tersebut,” jelasnya lagi.

Proton Iriz R5 bakal berhadapan cabaran hebat dari Hyundai i20 R5 dan Ford Fiesta R5 di BRC 2020

Kali terakhir MEM menyertai siri berkenaan adalah pada tahun 2016 dengan sebuah lagi jentera Proton iaitu Satria Neo S2000. Dalam musim berkenaan, keputusan terbaik yang mampu diraih oleh Olie hanyalah berada di tempat keempat pada pusingan di Circuit of Ireland National kerana ketika itu pesaing lain mula beralih menggunakan jentera dengan spesifikasi R5.

Hubungan MEM dan Proton telah bermula seawal tahun 2002, apabila pasukan berkenaan menyediakan Proton PERT Evo VI untuk pelumba negara, Karamjit Singh bagi membolehkan mereka bergelar juara dunia WRC kategori Group N (PWRC) pada tahun berkenaan hanya dengan percubaan pertama.

MEM dan Proton sekali lagi kembali ke WRC pada tahun 2012 dalam kategori WRC2 dengan Satria Neo S2000, membolehkan pemandu Sweden, Per-Gunnar Andersson menjadi juara Rali Sweden dan Finland seterusnya menjadi naib juara dalam kategorinya pada musim berkenaan.

Proton Iriz R5 ini dibangunkan oleh MEM sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11 yang hampir sama dengan enjin Mitsubishi Lancer Evo X (juga asas untuk enjin Proton Inspira) yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5, digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth. Kereta ini telah pun menerima homologasi penuh dari FIA pada Mac tahun lalu bagi membolehkan ia mengambil bahagian dalam mana-mana pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2.

Kami telah pun menulis tiga artikel berkenaan perincian kereta ini – mengapa MEM masih menggunakan Proton sebagai platform projek R5 mereka, mengapa kereta ini menggunakan enjin 4B11, dan apa kaitan projek ini dengan Proton di Malaysia – kesemuanya kami korek sendiri dari pengasas MEM, Chris Mellors menerusi satu temu ramah istimewa Oktober lalu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required