Proton Iriz R5 – apa kaitannya dengan Proton M’sia?

Proton Iriz R5 – apa kaitannya dengan Proton M’sia?

Anda dah tahu kenapa Mellors Elliot Motorsport (MEM) memilih Proton Iriz sebagai jentera untuk projek R5 mereka. Anda juga dah tahu kenapa Iriz R5 tersebut disumbatkan dengan enjin 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evo X yang dikecilkan dari 2.0 liter kepada 1.6 liter. Tetapi adakah anda tahu sejauh mana penglibatan Proton sendiri dalam projek R5 ini? Adakah mereka sekadar membekalkan kerangka Iriz kepada MEM?

Berbeza dari kategori AP4 seperti Mitsubishi Xpander AP4 atau Toyota C-HR AP4 di Asia Tenggara yang boleh dihasilkan oleh mana-mana bengkel, kategori R5 yang sah digunakan untuk semua kejohanan rali seliaan FIA termasuk kategori WRC2 dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) perlu dihasilkan dengan syarat homologasi yang sangat ketat.

Di sini penglibatan Proton sendiri terhadap projek R5 tersebut sangatlah penting bagi memastikan Iriz berkenaan menerima homologasi penuh dari FIA. Menurut pengasas dan prinsipal pasukan MEM Chris Mellors, pada peringkat awal Proton bukan sahaja membekalkan kereta kepada mereka, malah segala data-data rekaan dari sistem CAD diberikan sepenuhnya bagi memudahkan mereka memahami sepenuh rekaan asas Iriz tersebut.

Kemudian, segala kerja-kerja pembangunan kereta ini adalah dipantau oleh FIA. Menurut Chris, proses homologasi buat masa sekarang adalah jauh lebih sukar berbanding sebelum ini. Segala dokumentasi untuk setiap komponen yang dihasilkan perlu lengkap dengan segala maklumat seperti model dan lukisan CAD serta maklumat seperti dimensi dan berat perlu ditunjukkan kepada badan penyelaras berkenaan.

Proton Iriz R5 – apa kaitannya dengan Proton M’sia?

Gambar setiap komponen juga perlu dirakamkan dengan betul sehinggakan mereka terpaksa menyediakan satu studio khas yang lengkap dengan peralatan fotografi untuk mengambil gambar setiap komponen tersebut kerana FIA begitu terperinci untuk setiap aspek.

Tambahan pula, tidak seperti pasukan-pasukan ‘works‘ rasmi seperti Volkswagen dan Skoda yang bukan sahaja mempunyai kakitangan yang ramai, malah dekat dengan ibu pejabat jenama masing-masing, MEM adalah sebuah pasukan yang jauh lebih kecil, serta terpaksa berhubung secara jarak jauh dengan kilang membuat Iriz yang terletak di Tanjung Malim, Perak.

Faktor-faktor ini yang melambatkan proses homologasi kerana mereka sentiasa perlu berhubung. Ini kerana untuk langkah pertama sebelum kereta ini dibina, proses homologasi perlu dijalankan kepada kerangka asas kereta itu sendiri. Untuk ini MEM dan FIA perlu turun sendiri ke kilang Proton Tanjung Malim untuk memastikan Iriz memang sebuah model produksi yang dijual di bilik pameran dan ia dihasilkan sekurang-kurangnya 2,500 unit setahun di kilang berkenaan.

Kemudian barulah kerja-kerja untuk mentransformasi sebuah Iriz biasa ke Iriz R5 dijalankan, dan dari masa ke masa FIA akan melawat proses pembangunan setiap komponen dan memberitahu apa yang boleh, apa yang perlu diperbetulkan dan apa yang perlu dibuat semula. Dalam masa yang sama mereka memastikan setiap perkara asas yang tidak boleh disentuh contohnya geometri suspensi hadapan sentiasa dipatuhi oleh MEM.

FIA juga akan memastikan bahawa MEM menggunakan peralatan yang diluluskan oleh mereka, terutamanya komponen suspensi dan gandar sistem 4WD sebelah belakang di mana komponen-komponen tersebut adalah dari jenis yang sama digunakan oleh setiap jentera R5 yang menerima kelulusan FIA.

Menerusi pembangunan ini, MEM turut akan menyalurkan segala maklumat dan pengetahuan yang mereka perolehi kepada Proton, dan input tersebut akan digunakan oleh Proton untuk pembangunan model-model akan datang yang lebih baik, sama seperti apa yang dilakukan oleh pasukan Proton R3.

Setelah kereta ini siap dan setiap komponen yang telah dipadankan pada kereta tersebut diluluskan oleh FIA, badan penyelia sukan permotoran dunia berkenaan turun semula ke kilang Proton Tanjung Malim. Mereka sekali lagi melihat proses produksi Iriz di kilang tersebut, dan memeriksa kesemua nombor casis yang direkodkan adalah benar, dan sekali lagi memeriksa adakah Iriz dibuat dengan jumlah sekurang-kurangnya 2,500 unit setahun.

Dan selepas itu, wakil-wakil dari FIA tersebut pergi semula ke ibu pejabat MEM di UK untuk sekali lagi memeriksa setiap komponen pada kereta tersebut. Akhirnya selepas tiga tahun, Proton Iriz R5 menerima kelulusan homologasi penuh pada bulan Mac tahun ini.

Proton Iriz R5 – apa kaitannya dengan Proton M’sia?

Ramai yang ingat Iriz R5 ini hanya digunakan oleh MEM kan? Sebenarnya program R5 MEM ini sama sahaja dengan program R5 pengeluar lain seperti Volkswagen Polo GTI R5 dan Skoda Fabia R5, di mana jentera ini turut dijual kepada pasukan-pasukan persendirian yang berminat.

Setelah sah menerima kelulusan homologasi berkenaan, MEM mula menyiapkan berberapa Iriz R5 yang ditempah oleh pelanggan, antaranya unit pertama yang dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan untuk juara siri Kejuaraan Rali Tarmac Ireland lima-kali, Eugene Donnelly, yang kemudiannya berjaya dinobatkan sebagai juara kategori RC2 nasional dan tempat keempat keseluruhan di Cork 20 International Rally 2019 Oktober lalu.

Berapa pula harganya? Selain dari menetapkan syarat-syarat teknikal, FIA juga mensyaratkan harga jualan kereta tersebut tidak boleh melebihi 198,000 euro, atau sekitar RM913k. Chris tidak menyebut harga sebenar Iriz R5 ini, tetapi tentunya jika anda berminat mungkin boleh berunding bagi mendapatkan harga lebih rendah dari harga siling yang dinyatakan tadi.

Mahal? Tidak sebenarnya jika anda bandingkan dengan jentera kelas tertinggi WRC yang dijual pada harga jauh lebih tinggi. Dan kalau nak merasa juga, Iriz R5 sebenarnya boleh anda pandu secara digital dalam permainan video WRC 8 yang dilancarkan pada September lalu.

Proton Iriz R5 – apa kaitannya dengan Proton M’sia?

Kami juga sempat bertanya kepada Chris, selain dari unit-unit yang telah dijual sekarang dan kebanyakkannya beraksi di rali-rali nasional sekitar Eropah, di mana lagi boleh kita jangka untuk melihat aksi Iriz R5 ini? Menurut Chris, Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) pastinya akan menarik lebih banyak perhatian kerana Proton berasal dari Malaysia, dan buat masa sekarang berberapa pasukan dari Australia dan New Zealand menyatakan minat mereka untuk membeli kereta tersebut.

Walau bagaimanapun, Chris menegaskan bahawa untuk masuk ke WRC dalam kategori WRC2 adalah fokus utama pasukannya sekarang. Tiada kata putus boleh disebutkan buat masa ini, tapi mungkin berberapa pengumuman akan dibuat mengenainya dalam tempoh berberapa bulan dari sekarang.

Jelas semua? Ok, sekarang ada yang tertanya-tanya macam mana boleh bermula hubungan antara MEM dengan Proton ni? Kami dengar cerita tersebut dari mulut Chris tempoh hari sambil meremang-remang bulu roma. Kalau anda nak tahu apa ceritanya, baca artikel seterusnya pada PAUTAN INI.



Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required