Eugene Donnelly juara kategori RC2 nasional dengan Proton Iriz R5 di Cork 20 International Rally 2019

Eugene Donnelly juara kategori RC2 nasional dengan Proton Iriz R5 di Cork 20 International Rally 2019

Kami sudah laporkan bahawa Proton Iriz R5 binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) yang dipandu oleh Oliver Mellors dinobatkan sebagai juara Trackrod Yorkshire Rally 2019 hujung minggu lalu. Sebenarnya pada hujung minggu yang sama, satu lagi Iriz R5 yang dipandu oleh Eugene Donnelly disahkan sebagai juara kategori RC2 nasional dan tempat keempat keseluruhan di Cork 20 International Rally 2019.

Donnelly yang juga juara siri Kejuaraan Rali Tarmac Ireland lima-kali, dibantu oleh juruarah Alistair Wylie menamatkan 13 SS dalam rali berkenaan dengan masa keseluruhan 2 jam 2 minit 40.7 saat atau 2 minit 56.6 saat lebih pantas dari pemandu di tempat kedua, David Guest yang memandu Skoda Fabia S2000. Tempat ketiga dalam kategori ini disandang oleh Denis Moynihan yang memandu Ford Fiesta R5, menamatkan rali tersebut dengan masa 2 jam 7 minit 8.4 saat.

Cork 20 International Rally adalah acara tahunan dengan sejarah antara perlumbaan paling tua di dunia, dan ia adalah pusingan ke-tujuh atau terakhir untuk Kejuaraan Rali Tarmac Ireland 2019. Ia adalah rali di atas permukaan tar, dan merupakan rali ketahanan dengan jarak keseluruhan semua SS sejauh 280 km, berlangsung pada 28 dan 29 September dengan laluan SS yang berada di sekitar Cork, Dublin dan Galway.

Eugene Donnelly juara kategori RC2 nasional dengan Proton Iriz R5 di Cork 20 International Rally 2019

Penyertaan Donnelly pada Cork 20 International Rally 2019 adalah disaat akhir, di mana dia menggantikan tempat yang sepatutnya milik Rob Duggan. Berbanding Iriz R5 yang dipandu oleh Oliver Mellors dan Theo Bengry, unit milik Donnelly ini adalah Iriz R5 pemanduan sebelah kanan (RHD) pertama yang dibina oleh MEM, dan ia juga unit pertama digunakan dalam rali yang bertaraf antarabangsa.

“Kereta ini mempunyai pengendalian yang menakjubkan, dan tayar MRF telah benar-benar membuktikan kebolehannya. Cengkamannya sangat baik dalam keadaan jalan yang sukar. Ini merupakan saat yang berharga untuk diri saya, dan saya perlu katakan saya sangat berseronok dengannya. Kami datang untuk menguji kereta dan tayar dan secara keseluruhan kami sangat gembira dengan kedua-duanya,” kata Donelly.

MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth.

Kereta ini telah pun menerima homologasi penuh dari FIA pada Mac tahun ini bagi membolehkan ia mengambil bahagian dalam mana-mana pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2.

Kereta ini juga turut ditampilkan dalam permainan video rasmi WRC terbaharu iaitu WRC 8, dan ia diletakkan dalam senarai kereta-kereta rali ikonik sepanjang zaman, yang turut dibarisi kereta-kereta rali lagenda lain seperti Lancia Stratos 1974, Ford Escort Mk11 RS1800 1974, Lancia 037 Group B 1983 dan Volkswagen Polo R WRC 2016.

GALERI: Imej oleh Cian Don untuk Proton Iriz R5 Eugene Donnelly di Cork 20 International Rally 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • John L on Oct 01, 2019 at 10:19 pm

    So cool to see it make it into a video game. Hopefully it will be featured in the Dirt series too.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required