Proton Iriz R5 muncul dalam permainan WRC 8 – diiktiraf jentera ikonik, sebaris Ford Escort MkII!

Permainan video rasmi Kejohanan Rali Dunia (WRC) terbaharu, WRC 8 yang diterbitkan oleh Bigben Interactive dan dibangunkan oleh Kylotonn secara rasminya telah dilancarkan dalam pasaran global semalam. Apa yang menarik, jentera rali binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) iaitu Proton Iriz R5 turut ditampilkan, dan ia membarisi senarai kereta-kereta rali ikonik sepanjang zaman!

Antara kereta rali yang termasuk dalam senarai sama dalam permainan video ini adalah Lancia Stratos 1974, Ford Escort Mk11 RS1800 1974, Lancia 037 Group B 1983 dan Volkswagen Polo R WRC 2016. Tidak diketahui mengapa Proton Iriz R5 disenaraikan sebagai kereta rali ikonik sepanjang zaman dalam permainan video ini, kerana kereta ini masih belum membuat penampilan pertamanya dalam WRC walaupun telah menerima homologasi penuh dari FIA pada Mac tahun ini.

Walau bagaimanapun, MEM sendiri sememangnya telah menghasilkan kereta-kereta rali Proton yang kompetitif sebelum ini; Proton Satria Neo S2000 yang bertanding dalam kejohanan Kejohanan Rali Antara Benua (IRC), WRC dalam kategori SWRC dan juga menjadi juara Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) 2001 dipandu oleh Alister McRae; Proton PERT Evo VI Group N yang dipandu Karamjit Singh untuk pusingan-pusingan di Eropah sehingga beliau berjaya dinobatkan sebagai Juara WRC kategori Produksi (PWRC) pada tahun 2002.

Proton Iriz R5 muncul dalam permainan WRC 8 – diiktiraf jentera ikonik, sebaris Ford Escort MkII!

MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

Sejak muncul buat kali pertama pada Goodwood Festival of Speed 2017, Iriz R5 ini telah menjuarai pelbagai rali nasional di Britain termasuk juara tiga tahun berturut-turut di Forest Stage Rally Goodwood FOS (2017-2019) dan terbaharu juara Woodpecker Stage Rally 2019 hujung minggu lalu.

Ini juga bukan penampilan pertama Proton dalam permainan video rali sebegini. Sebelum ini jenama automotif nasional berkenaan turut pernah muncul dalam permainan video seperti International Rally Championship (1997) dengan Proton Wira 4WD (Proton PERT Evo II), WRC 4 (2004) dengan Proton PERT Evo VII dan WRC 4: FIA World Rally Championship (2012) dengan Proton Satria Neo S2000.

Proton Iriz R5 muncul dalam permainan WRC 8 – diiktiraf jentera ikonik, sebaris Ford Escort MkII!

Berbalik kepada permainan video terbaharu WRC 8 ini, ia dibintangi oleh empat kereta utama dari empat pasukan yang kini sedang merebut gelaran juara WRC iaitu Citroën Total C3 WRC, Hyundai Motorsport i20 N Coupe WRC, M-Sport Ford Fiesta WRC dan Toyota Gazoo Racing Yaris WRC – kesemuanya dalam livery perlumbaan untuk musim 2019.

Pemain boleh memilih lebih dari 50 pemandu rali sebenar sebagai watak dalam permainan tersebut, termasuk tiga pemandu yang sedang merebut gelaran juara dunia 2019 iaitu juara dunia enam-kali Sebastien Ogier (Citroën), Thierry Neuville (Hyundai) dan pendahulu kejuaraan buat masa sekarang Ott Tanak (Toyota).

Dalam permainan ini juga, laluan SS sepanjang lebih 400 km telah diterjemahkan dalam dunia maya yang diambil dari 14 pusingan WRC sebenar musim 2019, yang turut menampilkan lebih 100 SS lagenda WRC. Antara lokasi ikonik tersebut termasuk Colin’s Crest dari Vargåsen test di Sweden, kawasan berbukit batu El Condor di Argentina dan lompatan Ruuhimäki di Finland.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required