VIDEO: Proton Iriz R5 di Goodwood FOS Rally Stage

Gambar-gambar jentera rali Proton Iriz R5 telah didedahkan sebelum ini, begitu juga dengan imej-imej yang dirakam ketika kemunculan sulungnya di Goodwood Festival of Speed (FOS) minggu lalu. Kini, telah tersebar pula berberapa video jentera rali kompak binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) tersebut ketika beraksi di Rally Stage, FOS 2017.

Iriz R5 dipandu sendiri oleh Oliver Mellors di FOS, dan ia bertarung dengan jentera-jentera rali lain untuk mencatatkan masa terpantas di Rally Stage acara berkenaan. Menerusi video berkenaan juga dapat didengari bunyi enjin 1.6 liter turbo pada Iriz R5, tipikal seperti bunyi jentera R5 lain seperti Ford Fiesta R5 dan Skoda Fabia R5.

Iriz yang disuntik steroid ini dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5 dan bertanding dalam WRC2), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

Pada bahagian luaran, Proton Iriz R5 menampilkan fender hadapan dan ruang roda belakang yang lebih lebar. Panel lebih lebar pada fender hadapan bersambung dengan bampar hadapan yang direka mengekalkan susun atur Iriz versi produksi, serta gril bawah mesh dengan tulisan “IRIZ” yang besar.

Lampu hadapan serta gril kekal menggunakan rekaan dari Iriz standard, begitu juga dengan penutup bonet enjin, tetapi diberikan sepasang liang udara tambahan pada bahagian atas. Melengkapkan rupa sebuah jentera rali R5 sebenar, ia turut diberikan liang kemasukan udara pada bumbung, cermin sisi gentian-karbon dengan bentuk lebih aerodinamik.

Namun, pada jentera yang membuat kemunculan sulung di FOS ini, ia menampilkan spoiler belakang yang berbeza dari imej sebelum ini – dengan unit yang lebih besar yang cagaknya berada pada atas dan bawah cermin belakang bersama tulisan ‘PROTON’ besar di bawah bilah sayap, berbanding spoiler bumbung seperti GT-Wing kecil pada penampilan sebelumnya.

MEM menerusi laporan sebelum ini juga telah mengesahkan Proton Iriz R5 akan mula bertanding pada Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2 dan juga Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) musim 2018.

GALERI: Kemunculan Sulung Proton Iriz R5 di Goodwood Festival of Speed 2017

GALERI: Gambar rasmi Proton Iriz R5

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required