Seperti mana yang pernah didedahkan foto rasmi jentera rali Proton Iriz R5, Mellors Elliot Motorsport (MEM) telah menyebarkan lebih banyak imej jentera ini yang bakal menyertai Goodwood Festival of Speed esok.

Proton Iriz R5 ini dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5 dan bertanding dalam WRC2), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

Bahagian luaran, ia menampilkan fender hadapan dan ruang roda belakang yang lebih lebar. Panel lebih lebar pada fender hadapan bersambung dengan bampar hadapan yang direka mengekalkan susun atur Iriz versi produksi, serta gril bawah mesh dengan tulisan “IRIZ” yang besar.

Lampu hadapan serta gril kekal menggunakan rekaan dari Iriz standard, begitu juga dengan penutup bonet enjin, tetapi diberikan sepasang liang udara tambahan pada bahagian atas. Melengkapkan rupa sebuah jentera rali R5 sebenar, ia turut diberikan liang kemasukan udara pada bumbung, cermin sisi gentian-karbon dengan bentuk lebih aerodinamik serta spoiler bumbung belakang lebih besar

Proton Iriz R5 ini akan menyertai jentera-jentera rali lagenda dari era Group B yang terdiri daripada Audi Quattro, Lancia 037, MG Metro 6R4s dan juga MG Metro 8R4 yang dijana enjin V8 4.6-liter.

GALERI: Proton Iriz R5