Mellors Elliot Motorsport sahkan Proton Iriz R5 akan bertanding pada Kejohanan Rali Dunia musim 2018

Lanjutan dari teaser dan imej penuh jentera rali Proton Iriz R5 yang kami dedahkan sebelum ini, laporan dari Autosport mengesahkan kereta berkenaan akan mula bertanding pada Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2 dan juga Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) musim 2018.

Mellors Elliot Motorsport (MEM) – syarikat yang berpengkalan di UK yang bertanggungjawab membina jentera rali Iriz R5 ini mengesahkan kereta tersebut akan didedahkan sepenuhnya pada Goodwood Festival of Speed bulan hadapan.

Menurut Chris Mellors dari MEM, Iriz ini akan dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5 dan bertanding dalam WRC2), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

Bahagian luaran, ia menampilkan fender hadapan dan ruang roda belakang yang lebih lebar. Panel lebih lebar pada fender hadapan bersambung dengan bampar hadapan yang direka mengekalkan susun atur Iriz versi produksi, serta gril bawah mesh dengan tulisan “IRIZ” yang besar.

Lampu hadapan serta gril kekal menggunakan rekaan dari Iriz standard, begitu juga dengan penutup bonet enjin, tetapi diberikan sepasang liang udara tambahan pada bahagian atas. Melengkapkan rupa sebuah jentera rali R5 sebenar, ia turut diberikan liang kemasukan udara pada bumbung, cermin sisi gentian-karbon dengan bentuk lebih aerodinamik serta spoiler bumbung belakang lebih besar.

Ini bukan kali pertama MEM membina jentera rali untuk Proton. Sebelum ini, MEM merupakan badan yang bertanggungjawab membina Satria Neo S2000 yang bertanding di kejohanan Intercontinental Rally Challenge (IRC), S-WRC, dan juga dinobatkan sebagai juara APRC 2011. Lagenda rali tanah air ‘The Flying Sikh’ Karamjit Singh turut menggunakan Proton PERT Evo VI yang dibina oleh MEM untuk pusingan-pusingan WRC di Eropah pada tahun 2002 dan akhirnya dinobatkan sebagai Juara Dunia kategori Production Car (PWRC) musim berkenaan.

Berbalik pada Iriz R5, Mellors turut memberitahu bahawa projek ini telah bermula tahun lalu dan saiz serta bentuk hatchback segmen-B dari Malaysia ini adalah sempurna untuk perlumbaan rali.

“Semuanya pada tempat yang betul: panjang keseluruhan kereta ini kurang dari Satria, tetapi jarak rodanya lebih panjang; cagak atas topang berada pada tempat yang betul; banyak ruang pada bahagian hadapan yang sangat baik untuk penyejukan. Kami mempunyai kereta asas yang baik dan menerusinya kami letakkan segala bahan yang betul,” jelas Mellors.

Mellors juga memberitahu bahawa Proton tidak pernah hilang minat dan kemahuan untuk bertanding dalam rali dan jenama berkenaan sangat teruja dengan apa yang dilakukan oleh MEM. Proton Iriz R5 akan disediakan dalam versi pemanduan sebelah kiri dan kanan (bakal dipandu oleh pemandu-pemandu rali tanah air?) dan homologasinya akan bermula pada 1 Januari 2018.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required