Sebelum ini, Mellors Elliot Motorsport (MEM), pembina kereta rali dari UK yang menyediakan Mitsubushi Lancer Evo VI untuk kegunaan pasukan Proton PERT di Eropah dan Proton Satria Neo S2000 telah berkongsi imej teaser Proton Iriz R5 baharu binaan mereka. Terbaharu, satu akaun instagram dari Sepanyol bernama Furancho Racing telah mendedahkan satu gambar penuh Iriz R5 berkenaan.

Tiada maklumat tambahan pada gambar berkenaan dan hanya diletakkan dengan kapsyen “Jenama Malaysia (Proton) boleh kembali ke rali dengan Iriz R5.” Menerusi gambar berkenaan, imej Iriz lima pintu asal masih lagi jelas. Ia kelihatan seperti disuntik dengan steroid, menampilkan fender hadapan dan ruang roda belakang yang lebih lebar, sama seperti abangnya – Satria Neo S2000. Panel lebih lebar pada fender hadapan bersambung dengan bampar hadapan yang direka mengekalkan susun atur Iriz versi produksi, serta gril bawah mesh dengan tulisan “IRIZ” yang besar.

Lampu hadapan serta gril kekal menggunakan rekaan dari Iriz jalanan, begitu juga dengan penutup bonet enjin, tetapi diberikan sepasang liang udara tambahan pada bahagian atas. Melengkapkan rupa sebuah jentera rali R5 sebenar, ia turut diberikan liang kemasukan udara pada bumbung, cermin sisi gentian-karbon dengan bentuk lebih aerodinamik serta spoiler bumbung belakang lebih besar.

Belum lagi menerima livery perlumbaan sepenuhnya, Iriz R5 ini diberikan warna badan perak dengan logo harimau Proton dilekat pada pintu belakang beserta logo “Proton Motorsport” seiras dengan Satria Neo S2000.

MEM belum lagi mengumumkan spesifikasi Iriz ini. Namun jika dilihat undang-undang yang ditetapkan oleh FIA untuk kelas R5 iaitu kelas yang dipertandingkan dalam Kejohanan Rali Dunia-2 (WRC-2 atau sebelum ini dikenali sebagai S-WRC), ia perlu menggunakan enjin berkapasiti 1.6 liter dengan bantuan pengecas turbo, pacuan empat roda serta berat minima 1,230 kg.