Pusingan ke-10 Kejuaraan Rali Dunia (WRC) 2019, Rali Jerman yang diadakan pada permukaan jalan tar telah berakhir semalam, menyaksikan pasukan kendalian bekas Juara Dunia empat kali, Tommi Makinnen iaitu Toyota Gazoo Racing World Rally Team menyapu bersih podium 1-2-3!

Cabaran pasukan tersebut diketuai oleh pemandu dari Estonia, Ott Tanak yang menghabiskan kesemua SS dalam masa 3 jam 15 minit 29.8 saat, meninggalkan rakan sepasukan Kris Meeke dari Britain 20.8 saat di belakang. Manakala pelumba Finland Jari-Matti Latvala tiba di garisan penamat di SS terakhir bersama Toyota Yaris WRC 36 saat di belakang berbanding pendahulu rali.

Tiga jentera Hyundai i20 Coupe WRC menghuni tiga tempat di belakang, dengan Thierry Neuville berada di tempat keempat, Dani Sordo di tempat kelima, dan Andreas Mikkelsen berada di tempat keenam. Juara Dunia enam-kali dari Perancis yang kini memandu untuk pasukan Citroën Total World Rally Team dengan jentera Citroën C3 WRC hanya berpuas hati di tempat ketujuh setelah berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk tayar pecah pada hari terakhir rali tersebut

Dengan keputusan ini, Ott Tanak semakin selesa pada kedudukan pertama carta pungutan mata untuk bergelar Juara Dunia dengan 205 mata, meninggalkan Thierry Neuville 35 mata di belakang. Sebastien Ogier pula kini berada di kedudukan ketiga dengan 165 mata. Manakala untuk kategori pengeluar, Hyundai masih di hadapan dengan 289 mata, mempunyai kelebihan hanya lapan mata berbanding Toyota di tempat kedua.

Musim 2019 hanya berbaki empat pusingan lagi dengan pusingan seterusnya adalah Rali Turki pada 12 hingga 15 September, diadakan pada laluan dengan permukaan batu kerikil. Jika Tanak atau Neuville berjaya bergelar Juara Dunia untuk musim ini, mereka secara tidak langsung akan menamatkan penguasaan ‘dua Sebastien dari Perancis’ sejak 2004 – Sebatien Loeb juara dari 2004 hingga 2012 (sembilan kali) dan Sebastien Ogier dari 2013 hingga 2018.