Mitsubishi Xpander AP4 – jentera rali MPV pertama di dunia dari Indonesia, lahir dari impian Rifat Sungkar

Mitsubishi Xpander AP4 – jentera rali MPV pertama di dunia dari Indonesia,  lahir dari impian Rifat Sungkar

Kita di Malaysia, malah di serata dunia mungkin sedang menyaksikan kebangkitan model-model SUV. Namun perkara ini agak berlainan di Indonesia – di sana, MPV tujuh-tempat duduk adalah segmen yang paling laris, malah pelbagai banyak pengeluar menghasilkan MPV mereka di negara tersebut, dan ia direka berdasarkan selera dan bentuk muka bumi Indonesia.

Antara MPV berkenaan adalah Toyota Kijang (Unser) dan Innova, Toyota Avanza, Suzuki Ertiga, serta terdapat juga model MPV tujuh-tempat duduk yang diasaskan dari platform hatchback segmen-A seperti kembar Toyota Calya dan Daihatsu Sigra yang dihasilkan dari Toyota Agya/Daihatsu Alya/Perodua Axia bagi membolehkan dijual sebagai model Low Cost Green Car – melayakkan ia menerima potongan cukai dan dijual pada harga yang sangat mampu milik.

Pada tahun 2017, Mitsubishi juga sudah mula masuk ke pasaran yang sama dengan memperkenalkan model Mitsubishi Xpander iaitu versi produksi model konsep Mitsubishi XM yang muncul di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2016. Model ini juga dibangunkan di Indonesia, dan kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha yang terletak di Cikarang, Indonesia adalah satu-satunya fasiliti di dunia yang memasang MPV dengan gaya SUV tersebut.

Kehadiran model ini benar-benar telah memikat hati bintang rali Indonesia iaitu Rifat Sungkar. Rifat yang memang terkenal sebagai enthusiast Mitsubishi dan pernah berlumba dengan pelbagai model termasuk Lancer Evolution dan Pajero bukan sahaja terpikat dengan rupa garang pada Xpander, malah menurutnya MPV berkenaan mempunyai pengendalian terbaik berbanding saingannya yang lain.

Mitsubishi Xpander AP4 – jentera rali MPV pertama di dunia dari Indonesia,  lahir dari impian Rifat Sungkar

Rifat juga menyatakan bahawa dia diberitahu oleh jurutera Mitsubishi sendiri bahawa Xpander ini dihasilkan dengan DNA kuat dari Lancer Evolution X, sebab itulah ia memberikan respon dan pengendalian yang cukup baik. Rifat yang juga mempunyai garaj ubahsuainya sendiri iaitu RFT Motorsport, telah menimbang Xpander persendiriannya dan terkejut MPV tersebut dihasilkan dengan nisbah berat hampir sempurna seperti sebuah kereta sport sebenar iaitu 50.1% di hadapan serta 49.9 di belakang!

Rifat juga mula mengkaji spesifikasi jentera dalam kelas AP4 yang diformulasikan oleh FIA, iaitu kelas tertinggi dalam Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) buat masa sekarang bagi menggantikan Group N.

Sedikit pencerahan kategori AP4 ini – ia bermaksud Asia Pasifik 4WD dan kategori ini berada tahap yang sama dengan kategori R5, dan ia dibuat khas hanya untuk APRC. Kategori ini dihasilkan oleh komuniti rali Asia Pasifik kerana kepupusan jentera-jentera Group N seperti Mitsubishi Lancer Evolution yang secara asasnya adalah model produksi dari kilang yang hanya diberikan rollcage, penukaran sistem suspensi serta hanya talaan kotak komputer untuk membolehkan ia terus berlumba dalam rali.

Jentera yang masih ada dalam pasaran, Subaru WRX STI misalnya juga kini sudah tidak kompetitif kerana saiznya yang terlalu besar, lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan jentera WRC dan R5 yang kini sudah beralih menggunakan hatchback segmen-B. Walaupun spesifikasinya hampir sama dengan jentera R5, kereta-kereta AP4 ini tidak memerlukan homologasi yang ketat dari FIA seperti R5, membolehkan kos untuk menghasilkannya lebih murah dan ia boleh di bina oleh mana-mana bengkel.

Mitsubishi Xpander AP4 – jentera rali MPV pertama di dunia dari Indonesia,  lahir dari impian Rifat Sungkar

Berbanding jentera R5 yang masih perlu menggunakan geometri suspensi hadapan sama seperti model produksi, kesemua jentera-jentera AP4 pula perlu dibina dengan menggunakan formulasi geometri suspensi yang sama untuk semua pasukan (secara asasnya, tidak kira jenama, kesemua jentera AP4 ini boleh bertukar komponen suspensi antara mereka), secara tidak langsung ‘memurahkan’ lagi kos untuk membinanya.

Namun dengan undang-undang formulasi AP4 yang lebih ‘ringan’, jentera-jentera tersebut hanya boleh bertanding dalam rantau Asia Pasifik sahaja, berbanding R5 yang boleh bertanding di seluruh dunia termasuk kategori kedua tertinggi dalam WRC iaitu WRC2.

Untuk enjin pula, sama seperti R5, kereta-kereta kategori AP4 ini perlu dilengkapi dengan enjin 1.6L, tetapi dengan unit restrictor pada pengecas turbo berdiameter 34 mm (R5 hanya 32 mm), manakala berat minimun dibenarkan adalah 1,250 kg. Tetapi ada juga jentera AP4 yang dijana oleh enjin 2.0 liter seperti Toyota C-HR AP4 yang dihasilkan Cusco, tetapi ia perlu dipadankan dengan unit restrictor lebih kecil iaitu 33 mm untuk mengehadkan kuasanya, serta berat minimanya juga dinaikkan.

Jadi setelah Rifat berbincang dengan kenalan-kenalan khususnya dalam komuniti rali, untuk menghasilkan sebuah Xpander dengan spesifikasi AP4 bukanlah satu perkara mustahil. Semangat Rifat juga terus membuak-buak untuk melihat impian ini menjadi realiti setelah melihat imej bayangan Xpander AP4 tersebut yang dihasilkan oleh seorang pereka grafik dan artis automotif bernama Yoga Budi Widiantoro di laman instagram.

Mitsubishi Xpander AP4 – jentera rali MPV pertama di dunia dari Indonesia,  lahir dari impian Rifat Sungkar

Setelah itu, Rifat tidak lagi menoleh kebelakang. Beliau mengambil inisiatif sendiri bagi menghasilkan sebuah model konsep Xpander AP4, yang lengkap dengan kit badan, rollcage penuh serta suspensi bersama rim dan tayar rali, kemudian kereta itu didedahkan di booth Mitsubishi ketika berlangsungnya Indonesia International Motor Show (IIMS) 2019 pada April tahun ini.

Kemudian bagi menghasilkan Xpander AP4 sebenar, Mitsubishi telah membawa projek tersebut ke Ralli Art New Zealand. Di sana, Xpander berkenaan bukan sahaja menerima badan yang lebih kuat dan diberikan rollcage penuh, malah ia juga menerima pengubahsuaian suspensi mengikut geometri formulasi AP4 bersama sistem pacuan empat roda.

Enjin? Sama seperti Proton Iriz R5, perut Xpander AP4 ini disumbatkan dengan enjin 4B11T dari Mitsubishi Lancer Exo X yang dikecilkan kapasitinya dari 2.0 liter ke 1.6 liter, ditala bagi menghasilkan 350 hp dan tork maksima 556 Nm untuk menggantikan enjin MIVEC 1.5 liter asal. Untuk penampilan luaran serta bagi memberikan kesan aerodinamik lebih baik, Xpander AP4 ini menerima fender berkotak yang lebih lebar mirip jentera-jentera R5 dan WRC terkini bersama spoiler belakang yang agak besar.

Akhirnya Mitsubishi Xpander AP4 sebenar berkenaan membuat kemunculan rasminya pada Julai lalu. Di bawah pasukan yang digelar Xpander Rally Team (XRT) jentera tersebut dijadualkan untuk mula berlumba pada Gold Rush Rally New Zealand pada 16 dan 17 Ogos 2019, serentak dengan Hari Kemerdekaan Indonesia.

Mitsubishi Xpander AP4 – jentera rali MPV pertama di dunia dari Indonesia,  lahir dari impian Rifat Sungkar

Tetapi segala yang dirancang tidak menjadi. Ini kerana Xpander AP4 berkenaan masih belum menerima homologasi penuh dari FIA pada tarikh tersebut, menyebabkan Rifat dan pasukan XRT terpaksa menyewa sebuah Mitsubishi Lancer Evolution VI bagi menghabiskan rali berkenaan.

Menurut pengurus pasukan XRT, Julian Johan dalam laporan CNN Indonesia, Xpander lambat menerima kelulusan homologasi tersebut kerana FIA terkejut dengan permohonan yang dihantar pasukannya; ini pertama kali mereka menerima permohonan untuk homologasi sebuah MPV menjadi jentera rali! Ia agak menyukarkan kerja dari pihak FIA kerana mereka tidak ada pengalaman dalam menganalisa casis sebuah MPV sebelum ini.

Khabar terbaharu yang kami terima, Mitsubishi Xpander AP4 ini telah selesai semua sesi ujiannya di New Zealand pada awal bulan ini. Selepas ini, ia bakal dibawa pulang ke Indonesia dan akan mula membuat penampilan dalam perlumbaan pertamanya mungkin pada tahun hadapan.

Rifat Sungkar sendiri berharap sekiranya Xpander AP4 berjaya mendatangkan impak, ia bakal menjadi trendsetter bagi menyaksikan lebih banyak MPV dari jenama lain untuk beraksi dalam gelanggang rali, seperti perubahan dari sedan ke hatchback yang berlaku dalam WRC.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required