Kami dah siarkan artikel berkenaan kenapa Mellors Elliot Motorsport (MEM) memilih Proton Iriz untuk projek R5 mereka, mengapa jentera berkenaan guna enjin 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evo X, dan apa kaitan projek tersebut dengan Proton di Malaysia.

Tapi, pernahkah anda tahu bagaimana hubungan MEM dan Proton ini terjalin, dan tahukah anda kita sebenarnya telah pun mempunyai seorang Juara Dunia dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) ketika kerajaan berusaha untuk melahirkan seorang pemandu Formula 1 satu ketika dulu? Jadi dalam kesempatan menemuramah sendiri pengasas MEM, Chris Mellors bulan lalu, saya turut berkesempatan untuk mengorek kisah-kisah lagenda ini dari beliau sendiri.

Saya tak tahu anda bagaimana, tapi saya sendiri ketika era 80’an dan 90’an, sebagai seorang kanak-kanak yang begitu sukakan kereta, nama ‘Proton’ adalah satu kebanggaan kerana ia adalah pengeluar automotif tempatan; perasaan ini mungkin sama jika anda sukakan bola sepak, dan berbangga dengan pasukan Harimau Malaya.

Tidak seperti zaman sekarang, pada era tersebut pemasaran jenama automotif masih lagi berpegang pada ungkapan “menang perlumbaan pada hari Ahad, kereta akan laris dijual pada hari Isnin.” Ketika itu pelbagai jentera Proton aktif berlumba di Litar Shah Alam dan Pasir Gudang, tetapi sebagai jenama yang mempunyai hubungan rapat dengan Mitsubishi dan badan penalanya, Ralli Art, Proton sangat menyerlah dalam disiplin rali dan ia ditunjangi oleh Petronas Eon Racing Team (PERT).

Saya ingat lagi betapa berbunga-bunganya hati melihat Proton Saga, Wira 1.8 “tiang gol”, dan juga ‘Wira’ Lancer Evolution III dengan logo Proton di gril hadapan bersama livery putih-biru-merah ‘Petronas Dagangan’ pada badan jentera-jentera tersebut setiap kali stesen TV swasta tempatan menyiarkan highlights Kejuaraan Rali Malaysia pada era berkenaan. Malah kotak alat tulis saya yang di ‘custom’ dari kotak pita VHS turut diselitkan logo PERT yang dikerat dari akhbar.

Kenal Karamjit Singh? Rasanya bintang utama PERT yang dikenali dengan nama ‘The Flying Sikh’ ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Era 90’an Karamjit dan PERT boleh dikatakan mendominasi kejuaraan rali dalam Malaysia dan kemudian menjadi juara Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) buat pertama kali pada tahun 2001.

Menyedari potensi yang ada pada Karam, Proton PERT berhasrat untuk membawanya pergi lebih jauh – matlamat mereka untuk menguasai kategori Produksi dalam WRC (PWRC) dengan menggunakan jentera dari kelas Group N, iaitu kategori yang sama taraf dengan WRC2 buat masa sekarang. Dan ketika inilah penglibatan MEM bermula.

Menurut Chris, penglibatannya dengan Proton bermula dengan Mitsubishi. Pada tahun 1997 Chris terlibat dengan program pembangunan jentera WRC Mitsubishi yang dihasilkan oleh Ralli Art Jepun untuk dijual kepada pasukan-pasukan persendirian yang berminat.

Untuk bertanding diperingkat dunia, pengalaman yang dimiliki oleh Proton PERT yang sebelum ini hanya bertanding di peringkat Asia Pasifik sahaja tidak mencukupi. Ketika itu, PWRC didominasi oleh pasukan-pasukan dari Eropah seperti Ralli Art Itali. Jadi ketika Proton mengutarakan projek mereka untuk ke WRC kepada Mitsubishi dan bertanyakan siapa rakan teknikal yang paling sesuai, nama MEM telah disyorkan kepada mereka.

Chris mula menjalinkan hubungan dengan pasukan Proton PERT pada tahun 2001, dan melihat sendiri bagaimana pasukan berkenaan bekerja dalam berberapa pusingan APRC, antaranya di Rali Thailand 2001. Chris juga mendedahkan, Proton merancang projek ini untuk berjalan selama tiga tahun bermula 2002 – tahun pertama hanya sebagai pengenalan, tahun kedua cuba untuk mendapatkan keputusan lebih baik, dan kemudian cubaan untuk memenangi gelaran juara dunia hanya dirancang pada tahun ketiga.

Untuk WRC, Proton PERT tidak lagi menggunakan Evo VI dengan nombor pendaftaran Selangor BFN 6556 atau PROTON 1784, tetapi sebuah Evo VI baharu yang dihasilkan oleh MEM di UK dengan nombor pendaftaran WU02 FXB. Jentera ini diberi kelengkapan yang lebih bersesuaian dengan SS WRC yang biasanya lebih jauh dan mencabar, antaranya tangki petrol bersaiz jauh lebih besar dengan pam berkembar dan juga suspensi rekaan MEM sendiri.

Chris menjelaskan bahawa,’senjata’ mereka ketika itu bukan Evo VI berkenaan semata-mata. ‘Ace’ mereka sebenarnya adalah Karam dan juruarahnya ketika itu, Allen Oh. Menurutnya, Karamjit mempunyai gaya pemanduan yang sangat berbeza dari pemandu lain – dia tidak melakukan aksi liar ketika masuk ke selekoh seperti pemandu-pemandu dari Finland, tetapi lebih pintar dengan bergantung lebih kepada cengkaman bahagian hadapan kereta, dan ia terbukti jauh lebih pantas.

Ketika ujian pertama untuk pusingan WRC pertama mereka iaitu di Rali Cyprus 2002 (mereka tidak mengambil bahagian dalam dua pusingan terawal iaitu di Sweden dan Perancis), Karamjit dan MEM sebenarnya masih lagi ragu-ragu dengan kebolehan antara mereka. Tetapi setelah ujian tersebut berjalan, jurutera pasukan mengakui kehebatan Karam, dan Karam juga yakin dengan jentera yang dihasilkan oleh MEM berkenaan.

Dalam ujian tersebut, Karamjit membuat kejutan pertama dan amaran awalnya untuk pasukan-pasukan yang lebih berpengalaman dalam kategori Group N WRC – dia mencatatkan masa terpantas dengan beza 10-saat berbanding pemandu di tempat kedua. Kemudian, kemunculan sulung Proton PERT-MEM di kancah WRC dalam Rali Cyprus 2002 tersebut diakhiri dengan kemenangan pertama mereka dan mengutip 10-mata penuh!

Pusingan seterusnya berlangsung di Argentina, di mana Karamjit berjaya mengutip empat-mata lagi setelah menamatkan rali tersebut di tempat ketiga.

Antara kemenangan paling manis berlaku pada pusingan kelima PWRC 2002 iaitu di Rali Safari, Kenya. Rali Safari terkenal sebagai pusingan yang paling lasak dalam WRC – ia berlangsung pada permukaan muka bumi yang cukup mencabar gabungan permukaan batu kerikil, ‘kolam’ lumpur, sungai yang dalam, malah turut perlu mengelak haiwan-haiwan liar yang berkeliaran seperti gajah dan zirafah.

Anda boleh perhatikan, setiap kereta yang menyertai Rali Safari ini, ia akan diberikan talaan suspensi dengan jarak kelegaan tanah paling tinggi, diberikan pelindung tambahan pada gril hadapan serta diberikan unit snorkel bagi memastikan enjin tidak mati ketika perlu ‘menyelam’ menyeberangi sungai.

Karamjit berjaya menghabiskan keseluruhan SS pada Rali Safari 2002. Bukan sahaja habis, mereka berjaya menjadi juara kategori Group N untuk memungut 10-mata penuh, meninggalkan pemandu di tempat kedua setengah jam di belakang, serta lebih laju dari sebahagian jentera-jentera Group A dengan menduduki tangga ke-lapan secara keseluruhan!

Tahun 2002 juga merupakan tahun pertama Karamjit berlumba dalam pusingan WRC paling laju di dunia iaitu Rali Finland. Walaupun tidak berjaya menjadi juara, cubaan pertamanya tersebut tetap berakhir dengan podium tempat ketiga.

Pada pusingan seterusnya iaitu di Rali New Zealand, pasukan tersebut tidak berjaya menamatkan perlumbaan. Dan dalam pusingan terakhir untuk musim 2002 yang berlangsung di Australia, Karamjit sekali lagi berjaya memperolehi podium tempat ketiga dan disahkan sebagai Juara Dunia WRC untuk kategori PWRC/Group N!

Ini bermakna mereka tidak perlu menunggu sehingga tiga tahun untuk bergelar juara dunia seperti sasaran awal yang dibuat, kerana telah berjaya membawa pulang kejayaan hanya pada tahun pertama. Karamjit Singh juga adalah orang Asia pertama yang memperolehi gelaran tersebut.

Dalam tahun yang sama juga sebenarnya Karamjit bukan sahaja memenangi gelaran juara WRC, dia juga berjaya mempertahankan gelaran juara untuk APRC 2002. Karamjit terus berlumba dengan Evo VI tersebut pada musim seterusnya, kemudian sekali lagi berjaya bergelar juara APRC pada tahun 2004 dengan Evo VII juga dihasilkan oleh MEM.

Hubungan Proton-MEM diteruskan lagi selepas itu dengan Satria Neo S2000 yang bertanding di kejohanan Intercontinental Rally Challenge (IRC) bermula tahun 2009 hingga 2011, S-WRC pada tahun 2012 dan Kejohanan Rali Asia Pacific (APRC) pada tahun 2010 hingga 2012. Kejayaan terbesar yang dicatatkan oleh Neo S2000 ini adalah pada APRC musim 2011 apabila pemandu mereka Alister McRae (adik kepada lagenda WRC mendiang Colin McRae) dinobatkan sebagai juara keseluruhan, tempat kedua keseluruhan juga disandang pemandu Proton Motorsport Chris Atkinson (bekas pemandu Subaru World Rally Team), dan secara tidak langsung Proton Motorsport juga dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori pengeluar.