Bersekali dengan C-HR yang dipertingkatkan serta Camry Black Edition, Toyota juga telah melakukan naik taraf terhadap sedan eksekutif keluaran sayap mewahnya, Lexus ES, dengan beberapa kemaskini untuk pasaran Jepun.

Sebelum ini Lexus menjadi yang pertama memperkenalkan penggunaan kamera yang menggantikan cermin sisi, dan tahun ini sistem berkenaan diperkemaskan lagi. Paparan dalam keretanya kini menampilkan tiga garisan bagi menandakan jarak dari belakang kenderaan, antara lima hingga 30 meter. Kamera berkenaan juga kini ditawarkan sebagai pilihan bagi varian F Sport.

Lain-lain, sistem pada penawaran tunggal ES 300h diberikan bateri lithium-ion baru bagi menggantikan unit nickel-metal hydride – perubahan yang sama bagi model Camry di Amerika. Penjimatan bahan api juga dipertingkat, dari 20.6 km seliter kepada 22.3 km seliter dengan kitaran WLTP.

Selebihnya, sistem janaan kekal seperti sebelumnya, dengan unit 2.5 liter Dynamic Force empat-silinder kitaran Atkinson dengan 178 PS yang dipadankan dengan motor elektrik 120 PS/202 Nm – menjadikan output keseluruhan 204 PS.

Perubahan lain melibatkan keselamatan dan infotainmen. Sistem infotainment Remote Touch kini ada sokongan Apple CarPlay, Android Auto dan SmartDeviceLink, sementara pengecas Qi kini lebih besar untuk menampung saiz telefon yang juga semakin besar.

Sama seperti C-HR, ES turut menerima ciri brek kecemasan autonomous dengan pengesanan pejalan kaki dan penunggang basikal ketika siang. Ciri AEB parkir depan dan belakang serta sistem peninjau titik buta juga kini standard.