Pada akhir Julai lalu, kerajaan telah mengesahkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka mula beroperasi seawal 1 Januari 2027. Projek terbabit yang dijadualkan siap pada akhir 2026, akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Lembah Klang.
Menerusi Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen sebentar tadi, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata projek ECRL diteruskan bagi menjadi pelengkap kepada sistem jaringan pengangkutan kereta api sedia ada. Tambahnya, projek itu akan memberi manfaat kepada negeri di Pantai Timur khususnya bagi memendekkan jarak perjalanan ke ibu kota, laporan Bernama.
“Kita kena buka koridor ekonomi untuk Pantai Timur dengan menghubungkan tren penumpang dan kargo ke sana…sebab itu ECRL perlu dan dalam proses kita nak memuktamadkan. Saya harap kerajaan negeri berkaitan dapat sama-sama mencari formula kerana ini adalah ‘game changer’ (pengubah keadaan) untuk penduduk di Pantai Timur,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Kenyataan beliau itu adalah bagi menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) berkenaan gambaran perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu sebagaimana yang diimpikan Menteri Pengangkutan itu.
Dalam masa yang sama, Wee turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan bermusyawarah dengan semua negeri terlibat memandangkan jaringan ECRL tidak boleh dilaksanakan secara silo dan perlu dihubungkan dengan sistem pengangkutan awam sedia ada.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.