Menteri Pengangkutan, Datuk Sri Dr Wee Ka Siong telah memaklumkan laluan sepanjang 14 kilometer antara Parit Sempadan hingga ke persimpangan Tol Ayer Hitam akan dinaik taraf bermula pertengahan tahun hadapan.

Jelasnya, untuk itu, peruntukan sebanyak RM250 juta disalurkan bagi kerja naik taraf membabitkan pembinaan laluan empat lorong, pembahagi jalan, empat kawasan pusingan U dan enam jejantas untuk pejalan kaki dan motosikal.

“Buat masa ini, kerja mengukur jalan dan perancangan awal projek sudah dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan diharapkan semuanya berjalan lancar. Dengan pelaksanaan naik taraf ini, ia akan memberikan manfaat kepada keseluruhan penduduk di Dewan Undangan Negeri (Dun) Semarang seramai 50,000 orang,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Menurut Dr. Wee, laluan berkenaan telah dikategorikan sebagai 10 jalan raya paling bahaya di negara ini. Di mana rekod kemalangan maut telah mencatatkan sebanyak 554 kes dalam tempoh 10 tahun perlu diatasi segera.