Selepas agak lama tertunda, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengedarkan rekod bagi pecahan jualan mengikut jenama untuk bulan Jun 2020. Ini merupakan laporan terakhir yang dibuat berdasarkan pecahan jualan jenama untuk bulanan.

Ini kerana persatuan terbabit telah mengumumkan perubahan format bagaimana data jualan kenderaan akan disalurkan untuk pelanggan, melaporkan angka mengikut suku tahunan dan bukannya lagi bulanan seperti yang dilakukan sebelum ini, yang merupakan amalan terbaharu untuk beberapa ahlinya.

Menerusi kenyataan medianya semalam, MAA akan tetap menyalurkan data bagi angka jualan secara bulanan, termasuk jumlah keseluruhan industri (TIV), yang kini dipaparkan juga pecahan mengikut jenis kenderaan – kereta penumpang, 4WD, SUV – bukannya mengikut jenama.

Bagi jualan kenderaan bulan Jun yang merekodkan sejumlah 44,695 unit, menunjukkan peningkatan sebanyak 21,735 unit atau 94.7% berbanding 22,960 unit pada Mei. Malah angka yang memberangsangkan itu juga mempengaruhi jualan bulan Julai disebabkan pengecualian cukai jualan yang diumumkan oleh kerajaan sehingga hujung tahun ini.

Bagi data yang lebih spesifik, Perodua masih mendahului carta dengan jualan sebanyak 21,250 unit (+169.5% berbanding Mei), dengan Proton di belakangnya dengan 9,623 unit (+69.5%).

Sementara itu, Toyota selesa di tempat ketiga dengan 4,346 unit (+26.9%), mendahului Honda yang mencatatkan jualan sebanyak 3,319 unit (+23.9%) yang sebenarnya menjual lebih banyak kereta penumpang berbanding Toyota. Manakala Nissan pula menjual sebanyak 1,002 unit (+60.3%) bagi Jun, mendahului Mazda (+99.2%).

Jualan yang memberangsangkan turut melibatkan jenama seperti Mitsubishi (+23.1%), Ford (+47.9%), Volkswagen (+120%), Hyundai (+168.4%) dan Kia (+137.5%). Juga, bagi segmen premium, Jun turut memberikan angka jualan yang memberangsangkan buat Volvo (+140%) dan Lexus (+129%). Walau bagaimana pun, nasib tidak menyebelahi Renault kerana hanya menjual sebanyak 43 unit berbanding 65 unit pada Mei (abaikan anak panah berwarna hijau di dalam carta, kerana sepatutnya ia berwarna merah).

Namun, bermula tahun ini, ketiga-tiga jenama premium; BMW, MINI dan Mercedes-Benz hanya melaporkan angka jualan mengikut suku tahun. Bagi BMW, ia telah mencatatkan jualan sebanyak 2,543 unit untuk separuh pertama 2020. Kami dimaklumkan oleh MAA, Mercedes tidak memberikan laporan untuk angka jualam suku kedua, jadi carta ini masih menunjukkan angka seperti mana yang dipaparkan pada Mac 2020.

Selepas ini, iaitu mulai bulan Julai, tiada lagi pecahan jualan mengikut jenama, kerana ia akan dipaparkan mengikut jenis kenderaan. Jadi, kenalah biasa-biasakan diri dengan format atau amalan baharu untuk data jualan kenderaan di Malaysia agar tidak terkeliru.