Rapid Bus Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan pengendali operasi perkhidmatan bas Rapid KL, Go KL dan SMART Selangor, telah mengumumkan ketersediaan maklumat sebenar (real-time) lokasi bas menerusi aplikasi Moovit. Ia berupaya memanfaatkan ribuan pengguna perkhidmatan bas awam di Lembah Klang dan Selangor.

“Pengumuman ini adalah berikutan kerjasama kami dengan Moovit, yang merupakan sebahagian inisiatif Rapid Bus untuk menjalinkan kolaborasi bersama pembangun aplikasi pihak ketiga yang terpilih. Sebelum ini kita telah melancarkan perkongsian data real-time bersama Google Maps pada 18 Jun yang lepas.

“Kedua-dua inisiatif ini menandakan satu titik baharu di dalam perkongsian data kedudukan bas secara real-time bagi kemudahan para pelanggan kami. Inisiatif-inisiatif kolaboratif ini adalah pelopor kepada inisiatif perkongsian data terbuka yang akan datang,” kata CEO Rapid Bus, Encik Muhammad Yazurin Sallih.

Selain menggunakan data yang dikongsikan melalui kolaborasi ini, Moovit juga menggunakan data yang dikumpulkan daripada sumber-sumber lain.

Dengan aplikasi Moovit, para penumpang dapat menyemak lokasi semasa sebenar (real time) yang dikongsikan oleh Rapid Bus bagi bas Rapid KL bagi laluan-laluan bas di Lembah Klang termasuk bagi bas perantara MRT, perantara LRT, Go KL dan beberapa laluan-laluan perkhidmatan bas SMART Selangor yang terpilih.

Malah Rapid Bus turut merancang untuk meluaskan rangkuman data lokasi kepada perkhidmatan bas perantara MRT, Rapid Penang di Pulau Pinang dan Rapid Kuantan di Pahang.

Selain daripada maklumat perjalanan bas, perkongsian data ini melalui Moovit turut menyajikan pilihan perjalanan lain seperti kombinasi perkhidmatan bas dan rel, memberikan maklumat hentian bas dan jangkaan masa perjalanan.

Dengan adanya kemudahan maklumat perjalanan ini melalui aplikasi telefon pintar, para penumpang boleh menanti bas mereka sambil bersantai atau melakukan aktiviti lain sementara menunggu ketibaan bas. Para pengguna perkhidmatan bas Rapid KL boleh memuat turun aplikasi Moovit daripada Google Play atau Apple App Store.