Susulan pengumuman Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) mengenai Hyundai Kona yang akan dilancarkan pada suku ke-empat tahun ini, tempahannya juga telah dibuka dan dimaklumkan juga SUV segmen-B ini akan memasuki pasaran negara kita dengan dua pilihan penjana kuasa bagi tiga varian yang ditawarkan – 2.0 Standard, 2.0 Mid dan 1.6 T-GDI High.

Bagi model asas Standard, ia akan dijanakan oleh enjin 2.0 liter Nu MPI Atkinson naturally aspirated, dan dipadankan bersama kotak gear torque converter automatik enam-kelajuan. Ketika memperkenalkan Kona di peringkat global, Hyundai berkata, enjin ini mampu memberikan sejumlah 149 PS dan tork 179 Nm dan pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai dalam 10 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah 194 km/j.

Untuk varian tertinggi High pula menampilkan enjin 1.6 liter T-GDI turbo petrol empat-silinder, di mana untuk pasaran global, ia mampu memberikan 177 PS dan tork 265 Nm, dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan. Pecutan dari 0-100 km/j hanya mengambil masa 7.7 saat dan kelajuan maksimum mencapai 210 km/j.

Ciri untuk model asas Standard termasuklah roda 17-inci dengan tayar 215/55, sementara varian Mid dan High pula menerima 235/35R18. Bagi keselamatan pasif pula termasuk enam beg udara untuk semua varian, dengan model 1.6 T-GDI menerima ciri tambahan keselamatan aktif Hyundai Smart Sense yang merangkumi bantuan mengelak pelanggaran hadapan (AEB), bantuan kekal lorong, amaran pelanggaran titik buta dan kawalan brek menurun bukit.

Kelengkapan pencahayaan untuk varian 2.0 Standard bermula dengan lampu utama halogen dan lampu belakang gabungan mentol biasa, sementara varian 2.0 Mid menerima lampu utama LED bi-function projection-beam dengan lampu selekoh statik bersama lampu belakang kombinasi LED. Manakala varian 1.6 T-GDI High pula sama dengan larasan pencahayaan seperti varian Mid, tetapi dengan penambahan lampu tinggi pintar.

Di dalamnya, tempat duduk hadapan dengan larasan manual serta kawalan pendingin hawa manual diberikan untuk varian asas. Manakala varian 2.0 Mid dan 1.6 T-GDI High ditambah dengan lapan-larasan kuasa bersama sokongan belakang untuk tempat duduk pemandu, sementara tempat duduk penumpang hadapan kekal dengan larasan manual. Manakala pendingin hawa pula dipertingkatkan ke kawalan suhu automatik zon-tunggal.

Dua varian tertinggi ini juga menerima paparan utama, sementara varian Standard tidak ditampilkan dengan ciri tersebut. Ruang dalaman Kona juga dijangka menampilkan elemen yang menonjol termasuk kepingan kemasan kontras, jahitan pada tempat duduk dan roda stereng, serta tali pinggang keledar berwarna.

Kelengkapan infotainmen pula adalah sama untuk semua varian Kona – termasuklah sistem enam-pembesar suara dengan skrin sesentuh tujuh-inci, auxiliary audio input, USB, Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto.

Pembeli yang berminat untuk memiliki Kona, bolehlah mendaftar di laman web rasmi HSDM, dan membayar RM288 untuk pra-tempahan. Harga rasmi bagi SUV ini masih belum diumumkan, tetapi menurut laman web terbabit, harganya bermula dari RM115,000. Jika dibandingkan dengan model pesaingnya, varian tertinggi Honda HR-V iaitu dari versi RS dijual pada harga RM118,582, Toyota C-HR berharga RM144,336, dan Mazda CX-3 pula berharga RM126,829 (semua harga yang disebut ini adalah selepas pengecualian cukai jualan yang sedang berlangsung hingga 31 Dis ini), adakah Kona mampu menambat hati penggemar SUV crossover di Malaysia?

GALERI: Hyundai Kona 1.6 T-GDI di KLIMS 2018

GALERI: Hyundai Kona Electric di KLIMS 2018