Hyundai Kona akan dilancarkan suku ke-4 2020 – RM115,000, ada Smart Sense, CBU dari Korea

Hyundai Kona akan dilancarkan suku ke-4 2020 – RM115,000, ada Smart Sense, CBU dari Korea

Selepas diumumkan sudah boleh ditempah, Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) mendedahkan sedikit lagi perincian berkenaan Hyundai Kona untuk pasaran tempatan – ia bakal dilancarkan pada suku keempat tahun ini dan kita akan menerima unit yang diimport sepenuhnya (CBU).

Menurut HSDM, Kona pasaran Malaysia akan diimport sepenuhnya dari kilang Hyundai Motor Company (HMC) Ulsan yang terletak di Korea Selatan. Kehadiran crossover segmen-B ini akan melengkapkan lagi model SUV Hyundai di Malaysia yang sekarang ini dibarisi oleh SUV segmen-C Hyundai Tucson dan SUV segmen-D Hyundai Santa Fe.

“Kami teruja dengan pelancaran Kona dan ia adalah produk baharu sepenuhnya untuk kami dalam segmen ini dan kami yakin respon yang baik akan diterima oleh Kona. SUV kompak mempunyai permintaan yang tinggi bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global,” kata Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung.

“Pasaran SUV dan SUV kompak kini sedang berkembang secara eksponen jadi kami nampak potensi pasaran yang besar untuk semua SUV kami, termasuk Santa-Fe 7-tempat duduk, dan Tucson 5-tempat duduk dan juga model baharu seterusnya ini – Kona yang disasarkan kepada generasi lebih muda,” kata Low lagi.

HSDM mengesahkan bahawa Kona pasaran Malaysia bakal menerima lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, pilihan warna badan yang ekstrovet bersama serlahan kontras pada bumbung, paparan head-up dengan skrin aktif, skrin infotainmen utama terapung 7-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan juga sistem bantuan pemanduan Hyundai Smart Sense.

Untuk rekaan dalaman, Kona pasaran Malaysia akan diberikan tema warna yang menonjol bersama serlahan jahitan dengan benang kontras pada tempat duduk dan roda stereng, serta tali pinggang keledar dalam pelbagai warna.

Berdasarkan laporan sebelum ini, pasaran Malaysia hampir pasti akan menerima model paling berkuasa dijana 1.6 liter turbo berkuasa 177 PS/265 Nm digandingkan dengan kotak gear tujuh-kelajuan klac berkembar automatik. Ini juga bermaksud, berbanding pesaing terdekatnya yang lain seperti Honda HR-V, Toyota C-HR dan Mazda CX-3, Kona adalah model paling berkuasa dan satu-satunya crossover segmen-B di Malaysia dengan enjin petrol turbo, sekurang-kurangnya sebelum Proton X50 dilancarkan.

Kona dihasilkan dengan dimensi 4,165 mm panjang, 1,800 mm lebar manakala jarak rodanya pula adalah 2,600 mm. Berbanding Honda HR-V, SUV Korea ini adalah 129 mm lebih pendek tetapi 28 mm lebih lebar dan 55 mm lebih rendah. Untuk jarak roda pula, Kona diukur 10 mm lebih pendek berbanding HR-V.

Harga yang dibayangkan oleh HSDM ini iaitu bermula RM115,000 juga nampak begitu menarik. Ini kerana buat masa sekarang varian tertinggi Honda HR-V iaitu dari versi RS dijual pada harga RM118,582, Toyota C-HR berharga RM144,336, dan Mazda CX-3 pula berharga RM126,829. Semua harga yang dinyatakan ini adalah harga selepas potongan cukai jualan yang diumumkan kerajaan dan akan kekal sekurang-kurangnya sehingga hujung Disember ini.

Hyundai Kona akan dilancarkan suku ke-4 2020 – RM115,000, ada Smart Sense, CBU dari Korea

Jika anda ingin menempah crossover kompak ini, anda hanya perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM288. Untuk membuat tempahan, anda perlu mendaftar minat menerusi laman rasmi Hyundai Malaysia terlebih dahulu. Selepas data anda diperolehi, barulah pegawai dari Hyundai akan menghubungi anda dalam tempoh 48 jam hari bekerja berikutnya.

Setelah lengkap dua langkah ini, barulah anda membuat bayaran tempahan berkenaan di pengedar Hyundai bertauliah, dan mereka yang berjaya membuat tempahan ini akan sekali lagi dihubungi oleh Hyundai Malaysia bagi menerima jemputan eksklusif ke majlis pelancaran rasmi Hyundai Kona ke pasaran tempatan.

GALERI: Hyundai Kona 1.6 T-GDI di KLIMS 2018

GALERI: Hyundai Kona Electric di KLIMS 2018

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required