Satu lagi pengeluar yang telah mengeluarkan harga rasmi kenderaan setelah dilaras mengikut pengecualian cukai jualan yang diberi oleh kerajaan sehingga 31 Disember 2020 adalah UMW Toyota dan di bawah kami sediakan jadual menunjukkan kadar penurunannya.
Seperti yang anda boleh lihat, hampir semua kenderaan yang dijual oleh UMW Toyota diberikan pengurangan harga sementara beberapa lagi model seperti Hilux, Hiace dan teksi Avanza dikecualikan kerana ia termasuk dalam kategori kenderaan komersial (tiada pengecualian cukai).
Penurunan harga kenderaan Toyota di Malaysia berada dalam lingkungan antara 1.34% (Vios 1.5G) hingga 5.71% (Fortuner 2.4 VRZ 4×4), dan apabila melihat kepada jumlahnya pula, ia berada antara RM1,099 (Vios 1.5J) hingga RM17,391 (Alphard 3.5L).
Model paling mampu milik yang ditawarkan oleh UMW Toyota sekarang adalah Yaris 1.5J, di mana harganya telah menurun RM1,312 menjadi RM69,576 manakala untuk varian paling tinggi model ini, Yaris 1.5G dikurangkan RM1,413 untuk menjadi RM82,475.
Selain model yang sudah berada dalam pasaran, UMW Toyota juga telah mendedahkan harga RAV4 yang cuma akan dilancarkan 18 Jun ini, di mana untuk tempahan, harga untuk varian 2.0L dan 2.5L masing-masing adalah RM203,880 dan RM223,880, tetapi akan dilaras menjadi RM196,436 dan RM215,665 setelah mengambil kira pengecualian cukai ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.