Toyota RAV4 tiba di New York – guna platform TNGA, enjin Dynamic Force, penggayaan serba baharu

Toyota RAV4 tiba di New York – guna platform TNGA, enjin Dynamic Force, penggayaan serba baharu

Toyota RAV4 2019 serba baru akhirnya ditunjukkan di New York International Auto Show 2018, dan ia adalah model generasi yang kelimat (XA50). Banyak pembaharuan yang diberi pada model ini, dan ia bermula dengan pakej enjin.

Dua pilihan enjin disediakan pada RAV4 baru untuk Amerika Utara, dan kedua-duanya adalah unit Dynamic Force 2.5 liter. Yang pertama adalah model petrol biasa yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan Direct Shift, manakala satu lagi adalah model hibrid (Toyota Hybrid System II atau THS II) yang dipadankan dengan transmisi CVT elektronik (ECVT). Pasaran lain seperti Australia pula akan mendapat pilihan enjin 2.0 liter.

Model yang dilengkapi dengan pacuan semua roda boleh dipasang dengan Dynamic Torque Vectoring All-Wheel Drive serta Rear Driveline Disconnect, yang mana ia dapat menghantar 50% tork enjin ke roda belakang, serta mengagihkannya sama ada ke roda kiri atau kanan apabila perlu. Bila AWD tidak diperlukan (seperti atas lebuh raya), penggunaan bahan api dapat dijadikan lebih baik dengan penggunaan klac ratchet-type dog pada kedua-dua syaf roda hadapan dan belakang untuk menghentikan putaran driveshaft, sekaligus menghantar kuasa ke roda hadapan sahaja.

Sistem AWD baru ini adalah satu daripada tiga pilihan yang disediakan pada RAV4. Dua lagi adalah sistem AWD tanpa Dynamic Torque Vectoring dan All-Wheel Drive with Intelligence (AWD-i) untuk model hibrid. Untuk unit pada model hibrid tersebut, motor elektriknya mampu menghantar 30% lebih kuasa berbanding model sebelumnya.

Seperti juga Camry dan C-HR, RAV4 baru ini diletakkan atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Dengan itu, ia dapat menggunakan suspensi multi-link di belakang, yang menurut Toyota, dapat memberikan pengendalian, kawalan serta NVH yang lebih baik.

Toyota juga memberitahu casis unibody ini 57% lebih tegar berbanding model sebelum ini, dan turut mengakibatkan perubahan dimensi. RAV4 baru ini berukuran 4,595 mm panjang (-5 mm), 1,854 mm lebar (+10 mm) dan 1,699 mm tinggi (-5 mm). Perubahan paling besar adalah pada jarak roda, yang kini menjadi 2,689 mm, iaitu 30 mm lebih panjang berbanding model sebelum ini. Jarak kelegaan dari tanah pula 165 mm (+13 mm).

Ukuran baru ini turut disertai dengan rekaan yang diubah sepenuhnya. Ia kini nampak lebih hampir kepada model konsep FT-AC yang ditampilkan semasa pameran Los Angeles Auto Show tahun lepas. Di hadapannya terdapat gril seperti Tacoma, lampu yang lebih tajam dan di bawah terdapat lampu kabus serta skid plate.

Penampilan ranggi ini disempurnakan lagi dengan kemasan platik yang dipasang pada bahagian kenderaan yang lebih rendah serta lengkuk tayar. Lampu belakang kenderaan ini juga lebih tajam, dan pada C-pillar terdapat garisan hitam yang mahu menjadikan bumbungnya kelihatan seperti terapung.

Toyota RAV4 tiba di New York – guna platform TNGA, enjin Dynamic Force, penggayaan serba baharu

Masuk ke dalam, suasananya nampak lebih elegan dan kemas. Satu skrin sesentuh yang besar menguasai bahagian tengah papan pemuka, dan ia boleh didapati dalam pilihan tujuh atau lapan inci bergantung kepada sistem bunyi yang dipilih – Entune 3.0, Entune 3.0 Audio Plus atau Entune 3.0 Premium Audio.

Pada bahagian konsol tengah pula terdapat tombol gear bersama tombol pemilih mod pemanduan. Bahagian ini kelihatan seperti unit yang terdapat pada model Lexus, dan butang brek letak kenderaan elektronik juga terletak berhampiran.

Selain daripada itu, stereng RAV4 baru juga mempunyai lebih banyak butang kawalan, serta panel instrumennya menggunakan unit skrin tujuh inci. Turut diberi adalah cermin pandang belakang yang dipanggil sebagai Digital Display Rearview Mirror. Dengan satu sentuhan butang, pemandu akan mendapat pandangan yang lebih luas pada cermin ini.

Pada aspek keselamatan, RAV4 datang secara standard dengan lapan beg udara, serta kelengkapan lain seperti Toyota Safety Sense (TSS) 2.0, yang termasuk Pre-Collision System with Pedestrian Detection (PCS w/PD), Full-Speed Range Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert with Steering Assist (LDA w/SA), Automatic High Beam (AHB), serta dua yang baru, Lane Tracing Assist (LTA) dan Road Sign Assist (RSA).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required