Toyota Camry 2018 tembusi pasaran Australia – 2.5L, hibrid dan 3.5L V6, harga bermula RM86k-RM137k

Toyota Camry 2018 tembusi pasaran Australia – 2.5L, hibrid dan 3.5L V6, harga bermula RM86k-RM137k

2017 Toyota Camry range – (front to rear) SL, SX, Ascent Sport and Ascent

Setelah Amerika dan Jepun, Toyota Camry generasi kelapan kini telah menggantikan model generasi ketujuhnya pada pasaran Australia secara rasmi. Untuk pasaran berkenaan, Camry ditawarkan dengan tiga enjin berbeza (petrol empat-silinder dan V6, dan juga hibrid), dalam empat trim berlainan (Ascent, Ascent Sport, SX dan SL).

Dengan harga bermula RM86k untuk model asas Ascent hingga RM137k untuk model tertinggi V6, spesifikasi Camry pasaran Australia ini dilihat hampir sama dengan apa yang ditawarkan di Amerika Syarikat.

Untuk enjin asas empat-silinder, Camry dijana enjin 2AR-FE 2.5 liter tanpa pendesak turbo, menghasilkan kuasa 178 hp/235 Nm dan digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan yang telah diperhalusi. Kesemua empat trim akan ditawarkan dengan enjin asas ini, namun khas untuk pembeli Ascent Sport, SX dan SL, enjin 2.5 liter mereka mengkekstrak 2 hp dan tork 4 Nm lebih berkuasa dari asal.

Bagi unit janakuasa hibrid pula, enjin petrol baharu A25A-FXS 2.5 liter empat-silinder bersama sistem suntikan bahan api terus D-4S berkuasa 176 hp/221 Nm digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 118 hp/202 Nm. Secara keseluruhan, unit janakuasa hibrid tersebut berupaya menghasilkan kuasa 214 hp dengan penggunaan bahan api gabungan 4.2 liter untuk 100 km. Camry Hybrid ditawarkan dalam trim Ascent, Ascent Sport dan SL.

Untuk model paling berkuasa dengan enjin V6, Camry hanya ditawarkan dalam trim SX dan SL. Enjin 2GR-FKS 3.5 liter dengan sistem suntikan bahan api terus dan VVT-iW berkenaan berupaya menjana 300 hp pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 365 Nm pada takat 4,700 rpm. Kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik direct-shift lapan-kelajuan. Sedan Toyota paling berkuasa pernah ditawarkan di Australia ini juga kini menggantikan model Aurion.

Kesemua enjin ini diberikan sistem penyejukkan bervariasi (dengan pam elektrik pada model hibrid), pam minyak pelincir bervariasi penuh dan juga penyejuk sistem EGR. Selain itu, kesemua versi janakuasa turut diberikan mod pemanduan Drive Mode Select (Normal, Eco dan Sport). Versi hibrid pula ditambah dengan mod EV, manakala 2.5 liter dan 3.5 liter V6 pula menerima kawalan ‘blipping‘ pendikit automatik ketika menurunkan gear secara agresif seperti sistem pada Toyota 86.

Seperti yang diumumkan pada kemunculan sulung model generasi baharu ini, Camry dibina berasaskan platform baharu Toyota New Global Architecture (TNGA). Menurut Toyota, platform baharu ini membolehkan rekaan dilakukan dengan lebih bebas, memberikan kedudukan pemanduan lebih baik serta memperbaiki dinamik pemanduan kerana pusat gravitinya yang lebih rendah. Asas baharu ini juga menawarkan kekuatan torsi 30% lebih baik dari platform sebelum ini.

Selain itu, dinamik pemanduan pada kereta baharu ini turut dibantu oleh rekaan suspensi diperkemaskan – topang McPherson di hadapan dan suspensi double wishbone pada bahagian belakang. Jarak roda Camry baharu ini juga kini 50 mm lebih jauh dari model terdahulu, manakala tingginya pula telah dikurangkan 25 mm. Khas untuk Camry SX, ia turut diberikan bar penstabil yang lebih keras. Selain dari memberikan pengendalian lebih baik, trek yang lebih lebar dan ‘stance‘ yang lebih rendah membolehkan Camry ini kelihatan jauh lebih menarik.

Bagi kelengkapan lain, kesemua Camry diberikan lampu hadapan bi-LED dan lampu nyalaan siang LED – varian SX dan SL diberikan lampu nyalaan siang yang lebih premium. Kedua-dua varian tertinggi itu juga menerima lampu belakang LED sepenuhnya, manakala versi Ascent dan Ascent Sport hanya menerima lampu kombinasi LED. Versi SL juga dilengkapkan dengan bumbung suria berkuasa secara standard (opsyen dengan bayaran RM6k untuk SX), manakala Hybrid SL pula satu-satunya model yang diberikan moonroof kaca penuh.

Toyota Camry SX diberikan kit badan agresif bersama lampu belakang yang digelapkan. Ia juga menerima rim aloi paling besar pernah dipadankan pada sedan Toyota pasaran Australia iaitu berdiameter 19-inci. Bahagian dalaman, Camry SX menerima tempat duduk sport pada bahagian hadapan.

Model dengan trim lebih rendah menerima kit kemasan yang lebih ‘sopan’ dimana trim SL dipadankan dengan rim aloi 18-inci, manakala Ascent dan Ascent Sport hanya diberikan rim aloi 17-inci.

Bagi keselamatan pula, Camry generasi kelapan ini diberikan sistem amaran pra-pelanggaran, amaran keluar laluan, lampu tinggi automatik, cruise control aktif, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan mula mendaki, kawalan libasan treler, dan juga penahan brek. Kesemua ini ditawarkan mengikut pakej pada trim, manakala brek kecemasan automatik adalah standard untuk setiap model.

Untuk model pasaran Australia ini, Camry telah diuji dan diiktiraf menerima taraf keselamatan lima-bintang dari ANCAP, standard untuk semua varian. Ia juga dibawa sepenuhnya ke Australia dari Jepun selepas kilang produksi Toyota di Melbourne ditutup bulan lalu, manakala untuk pasaran New Zealand ia akan mula dijual Mac tahun hadapan.

GALERI: Toyota Camry Ascent 2018

GALERI: Toyota Camry Ascent Sport 2018

GALERI: Toyota Camry SL 2018

GALERI: Toyota Camry SX 2018

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required