Kilang Toyota Altona ditutup secara rasmi – tiada lagi kenderaan jenama berkenaan diproduksi di Australia

Kilang Toyota Altona ditutup secara rasmi – tiada lagi kenderaan jenama berkenaan diproduksi di Australia

Seperti yang diumumkan pada Januari lalu, hari ini, 3 Oktober 2017 secara rasminya kilang Toyota yang terletak di Altona ditutup. Ia secara tidak langsung menamatkan 54 tahun operasi pemasangan tempatan Toyota di Australia, dan selepas ini pasaran berkenaan hanya akan menerima kenderaan Toyota yang diimport dari luar.

Melihat kepada sejarah, kilang Toyota di Australia ini memahat pelbagai peristiwa penting bagi jenama dari Jepun itu sendiri pada peringkat global. Australia merupakan pasaran pertama di luar Jepun yang mempunyai kilangnya sendiri bermula dengan kilang di Port Melbourne yang mula memasang Toyota Tiara pada tahun 1963, dan kemudian ia mula memasang pelbagai lagi siri popular Toyota seperti Crown, Corona dan Corolla.

Bagi siri sedan Toyota paling popular iaitu Corolla, Australia juga merupakan negara pertama yang menerimanya, iaitu sebulan selepas ia dilancarkan di Jepun pada tahun 1966. Dua tahun selepas itu, Australia turut menjadi negara pertama yang memproduksi Corolla selain dari Jepun.

Selain itu, Australia juga menjadi negara pertama diluar Jepun yang memproduksi enjin, bermula pada tahun 1979. Enjin-enjin yang dibina di kilang Altona berkenaan digunakan pada model-model Toyota Camry yang dieksport ke luar Australia, termasuk pada pasaran Thailand dan Malaysia. Sepanjang operasi kilang tersebut, ia telah menghasilkan sejumlah 2,535,963 unit enjin.

Nama Camry juga sebenarnya agak sinonim dengan Australia. Negara berkenaan merupakan pasaran pertama yang menerima Camry selain dari Jepun, dan kemudian menjadi model ke-10 Toyota bagi diproduksi di Australia. Sehingga kini juga, Toyota merupakan satu-satunya jenama yang memasang kereta hibrid di Australia.

Sepanjang kewujudan kilang berkenaan, sebanyak 3.5 juta kenderaan telah dihasilkan bukan sahaja untuk pasaran tempatan, malah turut dieksport ke pasaran Timur Tengah.

Rancangan penutupan kilang berkenaan sebenarnya telah diumumkan empat tahun yang lalu bagi memberikan staf-staf dan juga pembekal-pembekal membuat persediaan dan latihan semula untuk beralih ke bidang lain, dengan bantuan kewangan dari Toyota sendiri serta pelbagai peringkat di kerajaan Australia.

Sempena penutupan kilang tersebut, perhimpunan bersama 2,600 pekerja yang tidak lagi akan bekerja dengan Toyota minggu hadapan, eksekutif-eksekutif Toyota dari Jepun dan Australia, serta lebih dari 100 pembekal diadakan di kilang berkenaan hari ini. Pengerusi Toyota Motors Corporation (TMC), Akio Toyoda tidak hadir pada majlis tersebut tetapi beliau sempat berhubung menerusi video bersama semua stafnya.

“Saya ingin merakamkan penghargaan ikhlas saya kepada anda, pekerja kami yang berdedikasi , pembekal kami, pelanggan kami, masyarakat setempat dan kerajaan yang semuanya menyokong pembangunan kilang Toyota di Australia. Dari lubuk hati saya, saya harap anda dan keluarga anda bahagia di masa depan. Terima kasih banyak,” kata Toyoda menerusi hubungan video tersebut.

Toyoda juga telah melawat kilang Altona berberapa minggu sebelum ini untuk meluangkan masa bersama staf-staf yang masih lagi kekal dan mengumumkan sendiri berkenaan langkah untuk menutup kilang tersebut – sama seperti apa yang dilakukannya pada Februari 2014.

Selain dari Toyota, Ford juga telah menutup kilangnya di Australia pada tahun lalu setelah beroperasi selama 91 tahun. Manakala jenama jati dari Australia sendiri – Holden – telah menutup kilang enjinnya pada November lalu, dan bakal menutup seluruh operasinya pada tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required