Toyota Hilux 2.8 Black Edition dilancarkan – RM140k

Toyota Hilux 2.8 Black Edition dilancarkan – RM140k

UMW Toyota telah mengumumkan varian baharu bagi Toyota Hilux – 2.8 Black Edition – yang menggantikan varian 2.8 L-Edition yang diperkenalkan sewaktu barisan Hilux generasi-kelapan dilancarkan di Malaysia tahun lalu.

Seperti model sebelumnya, 2.8 Black Edition 4×4 ini turut ditampilkan dengan beberapa ciri unik – seperti mana namanya, dengan bahagian luarannya serba gelap. Perubahan paling ketara melibatkan roda 18-inci yang dibaluti tayar 265/65 – dengan rekaan yang dikekalkan, tetapi dalam kemasan hitam sepenuhnya.

Lain-lain ciri yang turut menerima sentuhan hitam termasuklah perumah cermin sisi dan pemegang pembuka pintu, dan penggantian permukaan krom dengan bampar hadapan dan juga gril hadapan, yang turut hadir dengan rona hitam yang sama, tetapi di sekelilingnya kini ditampilkan dengan kelabu gelap berbanding kemasan berkilat seperti sebelum ini.

Di dalamnya, kemasan hitam berkilat dibentangkan di sana sini, termasuk dengan kombinasi kulit upholstery yang membaluti tempat duduk – dengan lapan-cara larasan bagi bahagian pemandu – seperti varian L-Edition sebelum ini. Namun sistem multimedia telah dipertingkatkan – unit pemain DVD skrin sesentuh 6.1-inci pada varian sebelum ini telah digantikan dengan unit 6.75-inci, dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Selain itu, ciri-ciri daripada 2.8 L-Edition masih digunakan, termasuklah lampu utama projektor LED dan lampu nyalaan siang LED, kawalan suhu automatik (dengan corong belakang), paparan pelbagai-info 4.2-inci, kawalan kelajuan, perakam video digital dan Kawalan Bantuan Menurun Bukit (DAC).

Penjana kuasanya tiada perubahan, masih mengekalkan enjin 2.8 liter 1GD-FTV dengan output 177 PS pada 3,400 rpm dan tork 450 Nm dari 1,600 hingga 2,400 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan.

Toyota Hilux 2.8 Black Edition AT 4×4 ditawarkan pada harga atas jalan RM139,888 tanpa insurans, iaitu meningkat sebanyak RM1,888 berbanding 2.8 L-Edition yang dijual pada harga RM138,900 (harga selepas pelaksanaan SST) sewaktu diperkenalkan tahun lalu. Secara kebetulan pula, varian Hilux 2.8G telah digugurkan, justeru, Black Edition menjadi versi tunggal bagi 2.8 liter yang ditawarkan untuk pasaran tempatan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required