Toyota Hilux facelift 2018 kini di M’sia – diperkenalkan dalam versi L-Edition, 2.4L dan 2.8L, bermula RM119k

Toyota Hilux <em>facelift</em> 2018 kini di M’sia – diperkenalkan dalam versi L-Edition, 2.4L dan 2.8L, bermula RM119k

Setelah imejnya tersebar semalam, hari ini UMW Toyota Motors Sdn Bhd mengumumkan Hilux pasaran Malaysia kini menerima facelift baharu dengan muka seakan Toyota Tacoma di Amerika Syarikat, diberi nama “L-Edition”. Model ini hadir dengan dua versi iaitu 2.4 liter AT 4×4 dijual pada harga RM119,300 (atas jalan tanpa insuran) dan 2.8 liter AT 4×4 pada harga RM133,900.

Pada bahagian muka, Toyota Hilux L-Edition ini menerima gril utama besar berbentuk heksagon. Bampar model ini turut direka semula dengan menampilkan rupa baharu pada gril bawah dan juga perumah lampu kabus. Selain dari perubahan ini, bahagian lain dilihat masih lagi kekal sama.

Walau bagaimanapun, L-Edition ini menerima kemasan bahagian luaran yang tersendiri seperti rekaan baharu pada rim aloi lima jejari dua-tona berdiameter 18-inci dibaluti tayar 265/65R18, serta kemasan krom dan hitam pada gril hadapan.

Bahagian dalam trak pikap baharu ini juga masih menampilkan rekaan sama seperti sebelumnya, tetapi turut diberikan trim unik iaitu panel-panel dengan kemasan piano black dan krom, bagi menggantikan komponen berwarna perak biasa pada model standard 2.8L AT 4×4 dan 2.4L AT 4×4. Balutan kulit biasa juga telah digantikan dengan kulit berliang pada edisi kemaskini ini.

Ciri-ciri lain yang diberikan pada Hilux L-Edition masih lagi sama dengan versi pre-facelift 2.8L AT 4×4 dan 2.4L AT 4×4. Model 2.4L L-Edition walau bagaimanapun menerima lampu hadapan halogen (dengan lampu nyalaan siang jenis mentol), manakala versi tertinggi 2.8L menerima lampu dari jenis LED.

Bagi kelengkapan lain pula, model 2.4L L-Edition dipadankan dengan sistem penghawa dingin manual, paparan instrumen pelbagai info, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, pemain audio biasa, tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala, tujuh-beg udara, ABS dengan EBD dan BA, VSC, serta penderia undur.

Toyota Hilux <em>facelift</em> 2018 kini di M’sia – diperkenalkan dalam versi L-Edition, 2.4L dan 2.8L, bermula RM119k

Klik untuk besarkan

Untuk varian 2.8L L-Editon pula, ia dibekalkan dengan tambahan sistem penghawa dingin automatik bersama liang kabin belakang, paparan pelbagai info 4.2-inci Optitron, sistem hiburan dengan skrin sesentuh 6.1-inci, cruise control, perakam video digital (dash cam) bersepadu, serta Bantuan Kawalan Menurun Bukit (DAC).

Model versi disegarkan ini juga masih mengekalkan sistem janakuasa lama. Oleh itu, model 2.4 liter masih dibekalkan dengan enjin turbodiesel 2GD-FTV berkuasa 150 PS/400 Nm, manakala model 2.8L dijana enjin 1GD-FTV berkuasa 177 PS/450 Nm. Kedua-dua enjin berkenaan digandingkan bersama transmisi enam-kelajuan automatik, dan turut dibantu sistem pacuan empat roda yang boleh diaktifkan ketika bergerak dengan sentuhan butang serta kawalan cengkaman Active Traction Control (A-TRC).

Adakah varian lain juga akan menerima muka baharu seperti model istimewa ini? Kami diberitahu oleh UMWT sendiri bahawa buat masa sekarang hanya L-Edition diberikan muka lebih garang seakan Tacoma berkenaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required