Toyota Hilux facelift, yang ditampilkan pertama kalinya di Thailand November tahun lepas, kini sudah dilihat tiba di Malaysia dan seperti akan muncul secara rasmi tidak lama lagi. Wakil penjual sudah mula membuat promosi untuk model baru ini, dan gambar yang kami dapat ini datang daripada laman Facebook “Yana Toyota Online”.
Model baru ini menunjukkan perubahan gaya yang jelas berbanding Hilux generasi sekarang, yang dilancarkan pada bulan Mei 2016. Muka hadapannya hampir seperti model Tacoma yang dipasarkan di Amerika Syarikat, dan melibatkan perubahan pada bahagian gril berbentuk heksagon, bersama rekaan bampar, salur udara serta lampu kabus yang baru.
Di Thailand, muka baru ini hanya boleh didapati bagi varian 4×4 dan 4×2 Prerunner High Rider, manakala varian 4×2 Low Rider masih lagi mendapat bahagian hadapan yang sama, tetapi dengan gril berwarna hitam dan pelindung bampar hadapan.
Laman Facebook jualan kenderaan Toyota yang berpusat di Kelantan ini turut mendedahkan beberapa perincian untuk Hilux facelift. Nampaknya seperti pasaran Malaysia akan menerima varian baru yang dipanggil sebagai “Hilux 2.4 Auto Luxury Edition”, yang kami jangkakan terletak antara varian 2.4G dan 2.8G.
Selain muka baru, Hilux 2.4 Luxury ini juga mendapat pemijak tepi dengan logo Hilux, pelekat badan baru, kabin dalam serba hitam (termasuk tiang dan lapik bumbung) dan tempat duduk balutan kulit yang mempunyai liang. Walaubagaimanapun, kami masih tidak jelas sama ada satu varian ini sahaja yang akan mendapat kelengkapan tersebut.
Untuk bahagian enjin, sepatutnya tiada perubahan, dengan penggunaan unit turbo diesel 2.4 liter 2GD-FTV (150 PS, 400 Nm) dan 2.8 liter 1GD-FTV (177 PS, 450 Nm) terus digunakan bersama transmisi automatik enam kelajuan. Apa pandangan anda dengan muka baru ini? Menarik?
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.