Toyota Hilux juga tidak terlepas daripada menerima pembaharuan yang dilakukan oleh UMW Toyota Motor Sdn Bhd bagi barisan modelnya termasuk Innova dan Fortuner. Kini dalam barisan model Hilux, terdapat enam varian dengan harga antara RM87,200 hingga RM130,900.

Varian dengan harga paling tinggi tersebut adalah Double Cab 2.8G AT 4X4, dan ini kami bawakan galeri penuhnya, yang sudah pun berada di bilik pameran. Varian ini adalah satu-satunya varian yang dikuasakan oleh enjin 1GD-FTV 2.8 L Intercooler VNT berkuasa 177 PS dan tork maksimum 450 Nm manakala varian lain dipacu oleh enjin diesel 2GD-FTV 2.4 L Intercooler berkuasa 150 PS dan 400 Nm tork.

Antara kelengkapan lain yang unik bagi varian 2.8G ini adalah rim 18 inci dengan tayar 265/60 di hadapan dan belakang, lampu utama LED Projector dengan fungsi Follow Me Home, lampu siang dan lampu kabus hadapan LED, meter Optitron dengan Illumination Control, skrin MID 4.2 inci TFT, sistem audio dengan skrin sesentuh 6.1 inci, pendingin hawa automatik dengan corong khas untuk penumpang belakang serta perakam video. Model di dalam galeri ini juga sudah ditambah dengan aksesori Tough Package tambahan dan Panoramic View Monitor.

Pada aspek keselamatan, varian 2.8 G ini telah dipertingkat dengan Downhill Assist Control (DAC), sebagai tambahan kepada Vehicle Stability Control dan Active Traction Control sedia ada. Untuk pambaharuan ini, varian lain turut dipertingkat, melihatkan varian 2.4G manual telah ditambah dengan ciri Vehicle Stability Control (VSC), serta Hill Assist Control dan A-TRC, manakala 2.4G AT turut diberi tujuh beg udara (sedia ada bagi 2.8G).

Seperti juga model lain Toyota, Hilux didatangkan bersama jaminan lima tahun, tetapi had batuannya diletakkan pada 150,000 km. Anda boleh mengetahui lebih lanjut berkenaan spesifikasi penuh semua varian Hilux ini dan membandingkannya dengan model lain melalui laman web CarBase.my.