Kebiasaannya, apa sahaja yang dibuat pada model sports RSV4 oleh Aprilia, ia kemudiannya akan diikuti pada model naked Tuono. Begitu juga pada model yang terhad yang menggunakan huruf X ini. Pada tahun lepas mereka memperkenalkan RSV4 X, dan kini Tuono X pula didedah.
Jumlah yang akan dikeluarkan juga adalah sama, iaitu 10 unit dan ia dijual pada harga 34,900 euro, bersamaan sekitar RM173,000. Model yang cuma boleh digunakan atas litar ini menggunakan banyak kelengkapan yang sama seperti RSV4 1100 Factory, tetapi ia tidak mempunyai fairing penuh, dipasang pemegang lebih tinggi dan dijadikan lebih ringan.
Enjin yang digunakan adalah unit V4 1,100 cc, ditala khas seperti enjin perlumbaan dan dipasang dengan intake camshaft, valve return spring, caps, bucket tappet serta profail cam baru. Sistem kemasukan udara dijadikan lebih lancar dengan penapis Sprint Filter manakala ekzos pula adalah unit gentian karbon berserta paip titanium oleh Akrapovic.
Pada RSV4 X, enjin sama mampu menghasilkan 225 hp tetapi pada Tuono V4 X ini, ia dikatakan mampu mengeluarkan 221 hp, pada crank. Bagi menjadikannya lebih ringan, banyak bahagian motosikal ini diganti dengan aluminium billet serta gentian karbon, termasuklah pemijak kaki, tuil brek dan klac, serta winglet. Rim adalah unit magnesium forged daripada Marchesini.
Kelengkapan prestasi lain yang terdapat pada Tuono V4 X adalah seperti brek Brembo GP4-MS berkembar di hadapan (sama seperti jentera lumba MotoGP dan WSBK), bentuk tangki masih lagi seperti Tuono biasa tetapi lebih ringan, suspensi semi aktif Ohlins Smart EC 2.0, quickshifter naik dan turun gear, serta panel paparan TFT.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.