Selepas 11 tahun diperkenalkan, Rolls-Royce Ghost kini tampil dalam versinya yang terbaru. Merupakan model dari generasinya yang kedua, Ghost 2021 ini menggunakan binaan khas mereka sendiri, seperti yang terdapat pada Phantom dan Cullinan.

Ghost merupakan model paling laris yang pernah dihasilkan oleh Rolls-Royce. Dalam penampilan terbaru ini, rekaannya bahkan menjadi lebih bersih; perhatikan garis-garis pada badan dan bonet depan, walaupun bersegi, ia tetap elegan dalam caranya yang tersendiri. Ghost baru ini juga 30 mm lebih lebar berbanding yang lama. Lampunya menggunakan teknologi laser dengan DRL bentuk C untuk kelainan.

Dari sisi, bumbung nampak lebih berlekuk di ke arah bahagian belakang. Bukaan pintu pula adalah dari jenis suicide door, dengan bantuan kuasa elektrik (dan masih boleh dikendali menggunakan butang). Di dalam, suasana yang disediakan adalah sangat mewah dan terperinci, sesuai dengan status dan imej yang ingin dihuni oleh kereta ini.

Papan pemuka didominasi oleh bahagian kayu asli, diikuti dengan perincian lain seperti Illuminated Fascia bagi penumpang depan, yang akan memancarkan nama Ghost dan 850 “bintang”, sama seperti Starlight Headliner yang digunakan. Dengan sistem bunyi 1,300-watt dengan 18-pembesar suaranya, ia juga mempunyai fungsi adaptif yang menggunakan dua mikrofon untuk mendengar jika ada frekuensi yang hilang atau berlebihan, dan melaraskan output amplifier untuk disesuaikan dengan keadaan.

Ghost baru ini juga datang lengkap dengan ciri baru Micro-Environment Purification System (MEPS). Selain itu, Ghost masih memanfaatkan versi sistem iDrive BMW dengan dua paparan skrin bagi instrumen dan infotainmen. Ia juga menampilkan bariasan teknologi terkini; Wifi, hotspot, kamera 360-darjah serta paparan head-up 7×3 dan bantuan parkir.

Sistem bantuan pemandu juga ditawarkan seperti biasa, melibatkan ciri amaran perlanggaran, kawalan melayar adaptif, amaran mengekalkan lorong dan pemantau titik buta dengan amaran trafik lintasan belakang – dengan fungsi pengesanan siang dan malam untuk haiwan dan pejalan kaki.

Ghost versi terbaru ini menggunakan struktur aluminium yang digelar Architecture of Luxury. Dengan ini, kedudukan roda depan dapat diletakkan lebih ke depan, meletakkan enjinnya di belakang kedudukan gandar. Kereta ini juga 30 mm lebih lebar (1,978 mm) dan 89 mm lebih panjang (5,546 mm). Ghost ini merupakan model serba-baru; perkara yang dikongsi daripada model lamanya hanyalah lambang Spirit of Ecstacy dan payung khusus dalam bahagian pintunya.

Dengan pengenalan struktur baru ini, Ghost turut beralih kepada menggunakan enjin 6.75 liter yang sama pada Phantom. Unit turbo berkembar berkenaan ditala untuk menghasilkan kuasa sebanyak 563 hp pada 5,000 rpm dengan tork 850 Nm pada 1,600 rpm. Ini membolehkannya mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat. Nisbah agihan beban ialah 50:50, dan ia dilengkapi juga dengan sistem pacuan semua roda.

Turut menerima talaan atau kejuruteraan semula ialah bahagian suspensinya yang digelar Planar Suspension System. Pertama kali di dunia, bahagian atas wishbone depan mempunyai penyerap hentaknya yang tersendiri untuk memberikan pemanduan yang lebih stabil. Sementara itu, fungsi Flagbearer akan mengimbas jalan di depan dan mempersiap suspensi udara untuk menyeram hentakan.