VinFast President SUV — 420 hp, 6.2 liter V8, laju cecah 300 km/j; 500 unit, dari RM680k di Vietnam

VinFast President SUV — 420 hp, 6.2 liter V8, laju cecah 300 km/j; 500 unit, dari RM680k di Vietnam

Pengeluar kenderaan dari Vietnam, VinFast telah mendedahkan harga dan perincian lanjut bagi model SUV President; ia diletakkan harga 4.6 bilion VND, atau sekitar USD198k (RM822,096). Menggunakan asas VinFast LUX SA2.0, President hanya akan dikeluarkan sebanyak 500 unit, dan 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan akan menikmati harga istimewa 3.8 bilion VND, atau sekitar USD 164,000 (RM680,928) menurut syarikat itu.

Jika SA2.0 dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder, President pula berbeza. Ia menggunakan enjin yang lebih besar, 6.2 liter V8 yang menghasilkan 420 hp dan 624 Nm tork. Ini dipadankan dengan transmisi lapan-kelajuan automatik dan sistem pacuan 4WD. President boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat dengan laju maksimum menghampiri 300 km/j, dakwa VinFast.

Aspek keselamatannya termasuk fungsi atau ciri seperti bantuan brek, ABS, EBD, kawalan ketabilan, kawalan cengkaman, kawalan menuruni curam, bantuan mula mendaki dan mitigasi olengan terbalik. Ciri bantuan lain termasuk amaran titik buta, amaran penukaran lorong dan sistem kamera 360-darjah serta tak lupa, enam beg udara.

VinFast President SUV — 420 hp, 6.2 liter V8, laju cecah 300 km/j; 500 unit, dari RM680k di Vietnam

Penampilan luar President agak sporty, dengan bukaan pada bonet di depan serta bukaan udara yang luas pada rekaan bamparnya. Pelanggan juga boleh menentukan sendiri warna logo, landasan bumbung, running board, kemasan luar pada pintu serta kemasan pada bampar depan dan belakang – daripada pilihan warna emas, tembaga, gunmetal dan perak.

President khabarnya menawarkan keselesaan dan ruang yang terbaik dalam segmennya, dengan jarak antara roda 3,133 mm – ini lebih panjang daripada BMW X7, dengan ukuran jarak antara rodanya 3,105mm. Menurut Vinfast, bukaan pintu juga diluaskan, serta tempat duduk barisan kedua turut diperbesar hingga maksimum.

Bumbungnya juga dilengkapi bumbung kaca panoramik yang besar, serta pemijak juga direka untuk memudahkan lagi urusan keluar masuk ke dalam kabin. Perehat lengan di barisan kedua juga ada memuatkan pemegang cawan, serta turut ada slot pengecas tanpa wayar serta sambungan USB.

Kulit Nappa digunakan untuk membalut tempat duduk dan kemasan di dalam kabin. Pilihan lain untuk ini ialah kulit dalam warna Cotton Beige, serta kemasan kayu Itali. Kelengkapan lain dalam ruang kabin termasuk paparan multi-fungsi tujuh-inci di tengah panel instrumen pemandu. Sistem infotainmen pula dikendalikan oleh skrin 12.3-inci, dengan 13 pembesar suara.

Pilihan warna luaran SUV ini terdiri daripada Sunset (oren), Deep Ocean (hijau), Gun Metal, Competition Red dan Purple Rain. Pelanggan juga boleh memilih daripada barisan 18 warna kustom mengikut selera sendiri.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required