McLaren mahu jual ibu pejabatnya di Woking untuk suntik semula dana setelah terjejas kerana Covid-19

McLaren mahu jual ibu pejabatnya di Woking untuk suntik semula dana setelah terjejas kerana Covid-19

Nampaknya pandemik Covid-19 betul-betul meninggalkan impak yang besar kepada McLaren. Selepas dilaporkan terpaksa membuang sebahagian pekerjanya, pembuat supercar dan juga pasukan Formula 1 British tersebut dikatakan mahu menjual ibu pejabat mereka yang begitu ikonik di Woking bagi mendapatkan dana.

Menurut laporan dari Sky News, McLaren telah meminta agen hartanah Colliers untuk mula memasarkan jualan-dan-sewa balik fasiliti berkenaan dengan harga £200 juta (RM1.07 bilion). Ini bermakna jika fasiliti ini terjual nanti, McLaren akan menyewa semula ibu pejabat tersebut dari pemilik baharu.

Ibu Pejabat Mclaren di Woking yang dibina pada tahun 2004 ini merupakan fasiliti tiga dalam satu, termasuk Pusat Teknologi McLaren, Pusat Produksi McLaren baharu – digunakan kebanyakkannya untuk menghasilkan kereta jalan raya McLaren Automotive – dan Pusat Kepimpinan Pemikiran McLaren.

Jurucakap McLaren memberitahu Autocar bahawa syarikatnya menjangkakan akan menerima tawaran “melebihi £200m” dan ia turut dijangka akan terjual pada penghujung tahun kewangan ini.

McLaren mahu jual ibu pejabatnya di Woking untuk suntik semula dana setelah terjejas kerana Covid-19

“Potensi jualan dan sewa balik ibu pejabat global kami dan pelantikan bank untuk memberi nasihat kepada kami mengenai penyusunan semula hutang dan peningkatan ekuiti adalah sebahagian daripada strategi pembiayaan semula komprehensif yang kami umumkan awal tahun ini,” kata jurucakap itu kepada majalah British berkenaan.

“Dibuat untuk tindakan jangka masa pendek yang kami hasilkan sepanjang musim panas, inisiatif ini akan memberikan penyata imbangan yang lebih kuat dan memastikan McLaren Group mempunyai platform yang mampan untuk pertumbuhan jangka masa panjang dan juga pelaburan,” tambahnya.

Pada Mei tahun ini, McLaren telah menghentikan perkhidmatan 1,200 orang pekerjanya (atau lebih dari 25% dari jumlah keseluruhan tenaga kerjanya) dari tiga divisi berkenaan. Nampakya langkah itu sahaja tidak dapat menampung bebanan kewangan syarikat tersebut sehingga terpaksa menjual ibu pejabat ini.

McLaren mahu jual ibu pejabatnya di Woking untuk suntik semula dana setelah terjejas kerana Covid-19

McLaren juga dilihat cuba untuk meminjam sehingga £275 juta (RM1.46 billion) dengan mencagarkan koleksi kereta klasiknya dan juga ibu pejabat Woking ini, bagi mendapatkan pinjaman berjumlah £150 juta (RM799 juta) dari Bank Nasional Bahrain.

“Tidak dinafikan bahawa ini adalah masa yang sukar untuk syarikat kami dan orang-orang kami khususnya, tetapi kami merancang untuk muncul sebagai perniagaan yang cekap dan mampan dengan jalan yang jelas untuk kembali bertumbuh. McLaren Applied juga telah kembali fokus untuk mengutamakan aliran pendapatan yang terbukti dengan pertumbuhan tinggi,” kata Paul Walsh, pengerusi eksekutif McLaren Group.

McLaren menyatakan bahawa wabak corona virus bukan sahaja menjejaskan pendapatan mereka dengan pembatalan acara-acara sukan permotoran, malah ia turut disebabkan pengeluaran di kilang tidak dapat berjalan, jualan global yang lebih rendah dan permintaan terhadap teknologi-teknologi solusi yang semakin merudum.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required