Pelancaran barisan model Mercedes-Benz GLB Z247 di Malaysia hari ini turut disertai oleh satu varian AMG, Mercedes-AMG GLB 35 4Matic. Dijual pada harga RM363,136.52 atas jalan tanpa insurans serta pengecualian cukai SST yang masih berlangsung hingga 31 Disember 2020 nanti, ini model paling berkuasa bagi GLB yang ditawarkan.

Bagaimanapun, GLB 35 ini tidak didatangkan dengan pilihan tujuh-tempat duduk untuk barisan ketiga, maka kapasiti maksimum hanyalah lima penumpang. Untuk mengimbangkan kekurangan tersebut, GLB sarat dengan kuasa; enjinnya menggunakan unit M260 2.0 liter empat-silinder yang menjana 306 PS (302 hp) dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan 400 Nm tork dari 3,000 rpm hingga 4,000 rpm.

Ia digandingkan pula dengan transmisi lapan-kelajuan AMG Speedshift DCT klac berkembar, serta sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic. Dari sudut prestasi, SUV ini memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 5.2 saat dengan laju maksimum yang dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. GLB 35 ini turut hadir dengan ciri suspensi adaptif AMG Ride Control dan rim aloi 20-inci AMG sebagai standard.

Cakera brek berliang digunakan, dengan saiz 350 mm untuk memberi daya brek yang cekap pada model ini, dengan kaliper empat-omboh untuk bahagian depan. Di belakang, cakera saiz 330 mm digunakan, dengan kaliper omboh tunggal. Kelengkapan lain bagi varian ini termasuk lampu depan Multibeam LED dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, yang tiada pada GLB varian biasa. Pakej luaran AMG Line juga adalah standard, dengan GLB 35 menggunakan gril Panamericana serta muncung ekzos bulat untuk membezakannya daripada model biasa.

Di dalam, GLB 35 berkongsi beberapa perkara yang sama dengan GLB 250, termasuk stereng balutan kulit Nappa, kemasan karbon, kemasan kulit Artico/mikrofiber Dinamica (dengan benang merah), tikar lapik AMG dan kerusi sport (tali keledar merah).

Kelengkapan standard bagi varian ini termasuk sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan paparan 10.25-inci khas AMG, kawalan pendingin hawa dua-zon Thermotronic dengan corong belakang, kerusi depan larasan elektrik dengan fungsi memori, lampu suasana, model LTE bagi servis Mercedes me connect, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, berserta sistem bunyi Burmester.

Aspek keselamatan, GLB 35 dilengkapi dengan kamera undur, bantuan titik buta, penghidup enjin dari jauh, Active Parking Assist dengan Parktronic, Pre-Safe, bantuan brek aktif, Keyless-Go, sistem tinjauan tekanan tayar dan pintu ruang belakang Easy-Pack. Satu ciri yang ada pada varian ini tetapi tidak ada pada GLB biasa ialah bantuan mengekalkan lorong aktif.