Audi Q8 TFSI e quattro – model plug-in hybrid didedah dengan kuasa sehingga 462 PS dan tork 700 Nm

Audi Q8 TFSI e quattro – model plug-in hybrid didedah dengan kuasa sehingga 462 PS dan tork 700 Nm

Audi akhirnya telah mendedahkan sepenuhnya Q8 plug-in hybrid. Ini adalah model ketujuh Audi yang menggunakan kuasa elektrik (sepenuhnya atau gabungan), dan ia ditawarkan dalam dua varian iaitu Q8 55 TFSI e quattro yang berharga £73,860 (RM396k) dan Q8 60 TFSI e quattro pada £85,760 (RM460k).

Kedua-dua varian menggunakan enjin pembakaran dalaman yang sama, iaitu unit petrol V6 3.0 liter TFSI, yang mampu menghasilkan kuasa 340 PS dan 450 Nm tork. Ia kemudiannya dibantu dengan motor elektrik 100 kW yang disepadukan pada kotak gear tiptronik lapan kelajuan.

Pada varian 55 TFSI e quattro, gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan 381 PS, 600 Nm tork dan membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat, tetapi pada varian 60 TFSI e quattro ia menjadi lebih tinggi dengan kuasa 462 PS, 700 Nm tork dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat. Laju maksimum untuk kedua-duanya adalah 240 km/j.

Audi Q8 TFSI e quattro – model plug-in hybrid didedah dengan kuasa sehingga 462 PS dan tork 700 Nm

Pek bateri lithium ion 17.8 kWh pada kenderaan ini mampu memberikan jarak gerak elektrik sehingga 47 km (berdasarkan ujian WLTP) dan dalam mod elektrik penuh, ia boleh dipandu sehingga kelajuan 135 km/j tanpa sebarang bantuan daripada enjin pembakaran dalaman.

Menurut Audi, bateri ini boleh dicas penuh dalam masa 2.5 jam apabila menggunakan soket 7.4 kW. Ia juga dilengkapi dengan pembantu kecekapan yang boleh membantu menentukan sama ada motor elektrik patut membiarkan kenderaan “meluncur” apabila pemandu melepaskan pedal pendikit, atau mengurangkan kelajuan menggunakan motor elektrik untuk menjana semula tenaga.

Tambah Audi, sistem ini boleh menjana semula sehingga 25 kW apabila meluncur dan motor elektrik juga boleh memberikan tambahan 0.3 G kuasa brek, sekaligus merangkumi kebanyakan penggunaan seharian. Brek roda hidraulik hanya akan digunakan apabila membrek kuat dan melaluinya, kenderaan akan mendapat penjanaan semula kuasa sehingga 80 kW.

Audi Q8 PHEV datang dengan tujuh mod pemanduan – Comfort, Efficiency, Auto, Dynamic, Individual, Offroad dan Allroad. Mod terakhir diberikan untuk model yang menggunakan suspensi udara adaptif. Untuk sistem hibrid, terdapat empat mod tambahan iaitu Hybrid, Auto, Charge dan Hold (mengekalkan tahap bateri dengan cuma menggunakan enjin pembakaran dalaman sahaja).

Model ini juga boleh didapati dengan sistem bantuan pemandu terkini Audi yang termasuk Adaptive Cruise Assist dengan Steering Assist, Active Lane Keep Assist dan Autonomous Emergency Braking. Menurut Audi, Q8 yang mempunyai tahap autonomous Level 2 mencatat markah penuh dalam ujian keselamatan kenderaan Europe NCAP.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required