Macam-macam sindiran diberikan pada Volvo ketika mereka mengumumkan untuk mengehadkan had laju kereta-kereta mereka kepada hanya 180 km/j awal tahun ini. Sebenarnya, ini bukan pertama kali mereka berhadapan situasi yang sama.
Seperti yang ramai tahu, tali pinggang keledar tiga poin yang kita pakai hari ini adalah hasil rekaan jurutera Volvo, Nils Bohlin pada tahun 1959. Volvo memberikan paten tersebut secara percuma kepada semua pengeluar automotif untuk menggunakannya dengan niat untuk menyelamatkan seramai mungkin nyawa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Namun ketika undang-undang mandatori untuk mewajibkan penggunaan tali pinggang keledar ini diumumkan, idea berkenaan mendapat pelbagai cemuhan dari orang ramai dan media, sehingga satu laporan dari akhbar New York Times pada 1973 menyebut bahawa pemakaian tali pinggang keledar ini “melanggar hak asasi individu”!
Baru-baru ini, Volvo telah menyiarkan satu video bertajuk “A Million More” yang memaparkan cerita-cerita terus dari mulut mereka-mereka yang terselamat dari menjadi korban ketika berlaku kemalangan jalan raya, kerana memakai tali pinggang keledar. Paling mengharukan, kesemua mereka yang terselamat ini seakan tidak percaya apa yang dihamburkan oleh media terhadap undang-undang mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar berkenaan.
Sehingga kini, dianggarkan lebih dari sejuta nyawa yang terselamat dari terkorban dalam kemalangan trafik kerana memakai tali pinggang keledar. Menurut Volvo, walaupun sekali lagi menerima pelbagai kritikan, mereka nekad untuk mengehadkan kelajuan 180 km/j tersebut bagi menyelamatkan lebih sejuta lagi nyawa pada masa akan datang.
Idea untuk mengehadkan kelajuan kenderaan hanya pada 180 km/j ini telah disuarakan Volvo pada Mac 2019, dengan menyatakan bahawa mereka percaya kelajuan adalah penyebab utama kecederaan dan juga kehilangan nyawa ketika berlakunya kemalangan. Perlaksanaan untuk mengehadkan kelajuan tersebut mula dibuat pada model-model baharu mereka bermula tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.