EON kembali jual Proton, tampil logo baharu

EON kembali jual Proton, tampil logo baharu

Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) mengumumkan bahawa mereka kini kembali menjadi pengedar untuk kereta-kereta jenama Proton dengan mengambil alih sembilan jaringan pengedar dari Proton Edar. Serentak dengan itu, syarikat berkenaan turut memperkenalkan logo baharunya.

EON ditubuhkan pada tahun 1984 dan kemudian menjadi pengedar tunggal kereta-kereta jenama Proton ketika itu. Syarikat berkenaan turut menjalankan aktiviti-aktiviti pemasaran dan promosi untuk jualan Proton, termasuk menubuhkan pasukan lumba Petronas EON Racing Team (PERT).

Menurut EON, penukaran logo ini merupakan kali ke tiga penjenamaan semula yang dilakukan mereka. Pada tahun 1990, perubahan kecil pada logo dibuat sempena penyenaraian mereka di Bursa Malaysia. EON kemudiannya telah dinyahsenaraikan dari Bursa Malaysia sebagai sebahagian daripada langkah penyusunan semula syarikat.

Logo baharu ini merupakan perubahan menyeluruh dari logo EON sebelumnya, dengan penampilan yang lebih garang dan moden, jelas EON. Huruf ‘E’ berwarna merah terletak di dalam bentuk berlian biru, melambangkan langkah syarikat untuk maju ke hadapan. Akronim syarikat “EON” juga tampil dengan font yang lebih moden, menandakan kematangan usia jenama itu setelah lebih 30 tahun berkecimpung dalam pengedaran automotif di Malaysia.

Logo EON 1984 (kiri) dan 1990 (kanan)

“E” berwarna merah melambangkan keberanian jenama yang mengedar beberapa jenama automotif di Malaysia. Berlian biru mengambarkan kekuatan 36 tahun sebuah jenama yang kekal utuh, selain ciri-ciri yang lazimnya dikaitkan dengan warna biru: kesetiaan dan kebijaksanaan, terang syarikat itu lagi dalam kenyataan yang dikeluarkan.

EON turut mengumumkan bahawa mereka kini kembali semula dalam perniagaan pengedaran Proton dengan sembilan pusat pengedar jenama automotif nasional tersebut, termasuk empat pusat 4S (jualan, servis, alat ganti, badan dan cat) dan tiga cawangan 3S. Empat cawangan ini berada di wilayah tengah, sementara dua cawangan, masing-masing di Johor dan Pulau Pinang.

Menurut EON kesemua cawangan tersebut dahulunya dimiliki oleh Proton Edar Sdn Bhd, dan telah bertapak di kawasan masing-masing untuk tempoh yang lama. EON juga menyatakan bahawa mereka kini berada dilandasan yang terbaik untuk mengambil kesempatan dari populariti kereta nasional pada masa ini.

EON juga menjelaskan perniagaan pengedaran semula kenderaan jenama Proton ini akan memperkayakan senarai jenama-jenama yang diuruskan oleh oleh mereka. Buat masa ini, EON turut mengedarkan jenama-jenama Jerman termasuk, Audi dan Volkswagen serta kenderaan dari Jepun iaitu Mitsubishi.

EON kembali jual Proton, tampil logo baharu

Senarai cawangan baharu EON untuk jenama Proton

Bagi Mitsubishi, EON Automart Sdn Bhd merupakan pengedar terbesar jenama Jepun ini di Malaysia, dengan 9 pusat edaran di seluruh negara. Ia mengendalikan tujuh pusat 3S di seluruh Malaysia (Ampang, Glenmarie, Johor Bahru, Bayan Lepas, Kuching, Kota Kinabalu dan Tawau). Dua lagi cawangan EON Automart berlokasi di Melaka, dan Kota Damansara dan merupakan pusat badan dan cat.

Jenama Audi pula diwakili Euromobil, yang mengendalikan Pusat Audi 4S Glenmarie di Shah Alam dan Pusat 3S Audi Johor Bahru di Skudai, serta Pusat Servis Audi Kuala Lumpur di Jalan Chow Sow Lin di pusat bandar. Operasi Volkswagen dikendalikan oleh Hicom Auto Sdn Bhd bertempat di VW Seremban, beroperasi di Oakland Industrial Park di Seremban.

EON turut mengendalikan jenama sewa dan pajakan kereta global iaitu Avis di Malaysia, menerusi 14 lokasi di seluruh negara. Menurut EON, Avis Malaysia telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah ‘Licensee of The Year’ oleh Avis Budget Group pada tahun 2018, serta mempunyai Pensijilan ISO 9001:2015.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required